Skip to content

Perutusan Tahun Baru 2019 oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow

Tahun 2018 bakal melabuhkan tirainya dan meninggalkan kita dengan pelbagai peristiwa, pengalaman dan cabaran yang telah kita harungi sepanjang perjalanan ini.

Malah, tahun 2018 turut menyaksikan perubahan besar kepada sejarah negara selepas rakyat Malaysia telah memberi mandat baharu kepada Kerajaan Pakatan Harapan sekaligus menolak kerajaan kleptokrasi yang telah membelakangi prinsip-prinsip keadilan, kebebasan, kebenaran, demokrasi dan integriti dalam pentadbiran berusia lebih 60 tahun.

Keputusan rakyat untuk menukar dan memberi mandat baharu kepada Kerajaan Pakatan Harapan harus diterima dengan hati terbuka dan penuh kepercayaan. Tahun 2019 hadir memberikan peluang kepada kita semua untuk membuat perubahan dan memulihkan serta mengembalikan negara ini ke landasan yang betul.

Bagi Kerajaan Negeri Pulau Pinang, visi Penang2030 akan menjadi panduan dan hala tuju Kerajaan Negeri untuk mentadbir negeri ini dalam tempoh 10 tahun akan datang. Visi Penang2030 akan memberi penekanan kepada pembangunan keluarga dalam negeri yang hijau dan pintar. Empat (4) teras utama dalam visi tersebut akan dijadikan panduan bagi memastikan segala perancangan pembangunan negeri ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh tanpa meminggirkan mana-mana kawasan di bahagian pulau mahupun Seberang Perai. Semua golongan masyarakat dan sektor pembangunan akan dijanjikan kesaksamaan dan keseimbangan demi kelangsungan negeri tercinta ini.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang bukan sahaja berusaha memelihara kehidupan sejahtera, malah serentak itu turut menyasarkan untuk memperluaskan kemakmuran ekonomi agar dinikmati segenap lapisan rakyat di negeri ini.

Sejak tahun 2010, Kerajaan Negeri telah melancarkan inisiatif Cleaner, Greener Penang dengan hasrat untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai negeri yang hijau dan bersih. Bagi menjayakan inisiatif berkaitan, usaha berterusan diperlukan sehingga ia menjadi gaya hidup rakyat supaya lebih prihatin terhadap alam sekitar.

Selaras dengan Revolusi Industri 4.0 yang menguasai dunia masa kini, Pulau Pinang akan terus mengekalkan momentum sedia ada melalui platform-platform yang telah tersedia untuk turut bersaing dalam dunia teknologi ini. Kerajaan Negeri kini dalam pertimbangan dan cadangan untuk mewujudkan satu portfolio baru iaitu Transformasi Digital di bawah Ketua Menteri sendiri.

Dalam sektor perindustrian pula, Pulau Pinang mencatatkan rekod pelaburan yang memberangsangkan bagi tahun 2018. Bagi separuh tahun pertama 2018, Pulau Pinang mencatatkan pelaburan sebanyak RM1.98 bilion. Daripada jumlah tersebut, pelaburan asing menyumbang sebanyak RM716 juta, manakala pelaburan domestik menyumbang sebanyak RM1.27 bilion. Kerajaan Negeri berharap agar ekonomi dunia bertambah baik pada tahun 2019 dan sekaligus melonjakkan kembali jumlah pelaburan masuk ke negeri ini.

Sebagai tambahan, bersempena tahun baru ini juga saya berharap semua dikurniakan dengan kesihatan yang baik. Uruskan masa dengan baik supaya semua mempunyai masa untuk bersenam berserta diet pemakanan yang baik.

Dengan ini, saya menjemput semua rakyat Pulau Pinang bersama-sama untuk mengalu-alukan ketibaan 2019 dengan semangat perpaduan dan kegembiraan di dalam hati kita. Semoga lembaran baharu ini dimulakan dengan azam dan semangat yang baharu.