Skip to content

PERUTUSAN TAHUN BARU 2026 OLEH KETUA MENTERI PULAU PINANG, CHOW KON YEW

Tahun 2025 kini melabuhkan tirainya, meninggalkan pelbagai kenangan, pengalaman dan pengajaran yang amat bermakna buat kita semua. Setiap kejayaan yang dikecapi serta setiap cabaran yang ditempuhi telah membentuk ketahanan, kematangan dan kebijaksanaan bersama. Sesungguhnya, segala pengalaman ini, sama ada manis mahupun getir, wajar dijadikan pedoman agar kita dapat melangkah ke hadapan dengan lebih yakin, matang dan berwawasan.

Melangkah ke tahun baharu 2026, ia bukan sekadar pertukaran angka pada kalendar, sebaliknya melambangkan permulaan lembaran baharu yang sarat dengan harapan, iltizam dan azam yang diperbaharui. Inilah masanya untuk kita menilai pencapaian lalu secara objektif, menetapkan matlamat yang lebih jelas serta memperkukuh komitmen bersama demi membina masa hadapan yang lebih baik untuk seluruh rakyat di negeri ini.

Pulau Pinang sentiasa dekat di hati saya. Dalam penggal terakhir saya sebagai Ketua Menteri, saya amat bersyukur dan berbangga dapat menyaksikan negeri ini terus melangkah maju dan memainkan peranan signifikan dalam pembangunan negara. Kekuatan Pulau Pinang bukan sahaja terletak pada kedudukan strategik serta warisan sejarahnya yang kaya, tetapi juga pada semangat dan keupayaan rakyatnya dalam memacu pertumbuhan ekonomi mampan, berdaya saing, inklusif serta sentiasa bersedia menghadapi perubahan.

Berpaksikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara, serta selari dengan kerangka Malaysia Madani, Kerajaan Negeri terus komited merangka hala tuju pembangunan yang seimbang dan menyeluruh. Selain keutamaan diberikan kepada kesejahteraan rakyat, kemajuan teknologi, kelestarian alam sekitar serta keharmonian sosial sebagai teras utama, fokus bagi tahun 2026 adalah pendekatan ‘Ekonomi Kelangsungan Hidup’ atau ‘livelihood economy’ yang mana pentadbiran saya akan lebih mengetengahkan pendekatan ekonomi yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan hidup rakyat melalui peluang pekerjaan berkualiti, pendapatan mampan dan keupayaan sara hidup yang adil.

Sebagai negeri yang mempunyai ekosistem perindustrian, perkhidmatan dan pelancongan yang matang, Pulau Pinang berpotensi memperkukuh ekonomi rakyat dengan menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), ekonomi sosial, keusahawanan tempatan serta pekerjaan berasaskan kemahiran tinggi dan sederhana. Inisiatif seperti peningkatan kemahiran (upskilling dan reskilling), sokongan kepada pekerja gig, dan pemerkasaan komuniti bandar serta luar bandar dapat memastikan pertumbuhan ekonomi bukan sahaja tertumpu kepada pelaburan besar, tetapi turut dirasai secara langsung oleh isi rumah serta komuniti setempat. Umumnya, ia boleh digerakkan melalui ekonomi hijau, industri kreatif, teknologi digital dan inovasi sosial yang membuka peluang pekerjaan baharu tanpa menjejaskan alam sekitar. Dengan mengutamakan keseimbangan antara pertumbuhan ekonomi, keadilan sosial dan kelestarian, Pulau Pinang dapat membina ekonomi yang bukan sahaja berdaya saing di peringkat global, tetapi juga memastikan setiap keluarga mempunyai kehidupan bermaruah, selamat dan sejahtera menjelang tahun 2030 yang mana kemajuan serta kemakmuran yang dikecapi dapat dinikmati oleh semua, tanpa ada sesiapa tercicir.

Sebagai sebuah negeri yang pesat membangun, keperluan terhadap infrastruktur moden dan sistem pengangkutan awam yang cekap semakin mendesak. Mobiliti yang baik bukan sahaja meningkatkan produktiviti dan daya saing negeri, malah juga menyumbang kepada kualiti hidup lebih baik dan persekitaran yang lebih lestari untuk generasi akan datang. Sehubungan itu, Saya tidak sabar menantikan pelaksanaan Projek Lebuhraya Bertingkat Juru–Sungai Dua (JSD); tiang-tiang projek Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Mutiara didirikan; pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) siap disempurnakan dan banyak lagi yang kini sedang diusahakan dengan giat menerusi usaha sama Kerajaan Negeri serta Persekutuan. Selaras dengan usaha memperkukuh pertumbuhan industri bernilai tinggi, pelaksanaan projek-projek strategik seperti Penang IC Design and Digital ParkPenang Chip Design Academy dan Silicon Research and Incubation Space dijangka membuka lebih banyak peluang pekerjaan berpendapatan tinggi serta menarik pelaburan daripada syarikat teknologi global.

Serentak itu, 122 projek sambungan yang dirancang untuk dilaksanakan pada tahun 2026, merangkumi infrastruktur awam, kemudahan masyarakat serta projek khas ekonomi diharap dapat dilaksanakan dengan lancar. Justeru, saya menyeru agar semua jabatan dan agensi pelaksana pada peringkat Negeri dan Persekutuan dapat digembleng secara bersepadu dengan semangat tanggungjawab bersama, bagi memastikan setiap projek berimpak tinggi di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMKe-13) di Pulau Pinang ini dapat direalisasikan secara berkesan.

Sebagai penutup kata, marilah kita menyambut ketibaan tahun 2026 dengan semangat perpaduan, keyakinan dan iltizam yang baharu. Saya yakin Pulau Pinang akan terus melangkah ke hadapan sebagai sebuah negeri yang maju, inklusif dan harmoni. Semoga Malaysia terus makmur, dan Pulau Pinang kekal cemerlang di persada dunia.

Selamat Tahun Baharu 2026.

Sekian, terima kasih.