Sambutan Tahun Baru Cina bukan semata-mata sebuah perayaan, sebaliknya merupakan signifikasi yang penuh bermakna bagi menghargai hubungan kekeluargaan, memperbaharui azam serta berdoa untuk tahun yang lebih baik. Ahli keluarga, insan-insan tersayang serta sahabat handai akan berkumpul untuk meraikan kehadiran tahun baru dengan penuh kegembiraan dan juga rasa kesyukuran.
Mengimbau kembali kenangan pada tahun 2024, sememangnya, tahun naga telah menjadi guru yang baik kepada kita yang mana dengan semangat keberanian dan kekuatan (yang lazimnya dikaitkan dengan naga), kita telah serta mampu mengatasi pelbagai cabaran dan bangkit dengan lebih kuat pada tahun ini. Mengikut kalendar lunar Cina, tahun 2025 yang membawa zodiak ular akan dipenuhi dengan harapan dan potensi. Semoga dengan semangat yang terus membara, ia bakal membawa kita semua menuju kejayaan yang lebih gemilang pada tahun ini. Malah, bersandarkan ‘harapan’ dan ‘potensi’ ini jua, Pulau Pinang tetap berusaha untuk terus meningkatkan kesejahteraan rakyatnya, memacu pembangunan lestari dan memastikan setiap lapisan masyarakat khasnya dapat merasai manfaat daripada kemajuan yang dicapai.
Dalam bidang pendidikan khususnya, Kerajaan Negeri Pulau Pinang amat komited pada aspek pembangunan modal insan iaitu bagi menjamin setiap anak-anak di negeri ini mempunyai akses pendidikan serta menuntut ilmu dalam suasana yang selesa dan kondusif. Sebagai tanda komitmen Kerajaan Negeri terhadap pembangunan modal insan, sejak tahun 2009 hingga kini, lebih RM134.97 juta telah disalurkan kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Mubaligh dan Sekolah Menengah Cina Persendirian di seluruh negeri ini di samping menyampaikan bantuan ke pelbagai Sekolah Kebangsaan (SK), Sekolah Agama Rakyat (SAR), Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT), Punjabi dan juga tadika Tamil.
Umumya, tahun 2025 adalah masanya untuk Kerajaan Negeri memberikan fokus pada projek-projek infrastruktur mega yang telah diluluskan seperti projek transit aliran ringan (LRT) dikenali sebagai Laluan Mutiara; Projek Penyaluran Air Mentah Sungai Perak untuk bekalan air di kawasan utara Perak dan Pulau Pinang; Projek Pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA); Projek Lebuh Raya Bertingkat Juru – Sungai Dua; Projek Batu Kawan Industrial Park 3 dan lain-lain berkaitan, di samping sentiasa berusaha untuk menarik pelabur-pelabur dari dalam serta luar negara bagi meneroka peluang-peluang untuk menjana pendapatan baharu. Hubungan dengan dunia luar terus diperkukuhkan bagi memastikan pelaburan berterusan dapat ditarik ke negeri ini termasuk sektor perkhidmatan khasnya perubatan dan juga pelancongan yang mana Pulau Pinang berbangga apabila muncul sebagai hab pelancongan perubatan di Asia Tenggara sejak 10 tahun lalu.
Bagi memastikan setiap projek-projek berskala mega, sederhana mahupun kecil dapat dijalankan dengan telus dan lancar, saya berharap semua pihak yang bertanggungjawab mengambil pendekatan menjalankan tugas dengan lebih progresif serta proaktif bagi memastikan setiap tema di bawah Visi Penang2030 dapat dicapai, terutamanya inisiatif strategik C4 iaitu ‘Mempercepat Penyampaian Program dan Pembaharuan Institusi’ yang menjadi salah satu fokus saya pada tahun ini. Ia merupakan asas pada pembaharuan institusi yang penting untuk menambah baik tadbir urus, merangsang pertumbuhan ekonomi, memupuk kesaksamaan sosial, seterusnya mengukuhkan institusi kerajaan bagi mewujudkan pentadbiran negeri yang lebih makmur, adil dan berdaya tahan.
Kerajaan Negeri percaya bahawa usaha kolektif antara Kerajaan Negeri dengan pelbagai pihak memainkan peranan penting dalam mengukuhkan lagi kemakmuran ekonomi rakyat Pulau Pinang. Dengan peningkatan pelaburan dan penciptaan peluang pekerjaan, diharap ia dapat memberikan manfaat lebih besar kepada masyarakat setempat, meningkatkan taraf hidup serta memperkukuh keharmonian antara kaum di negeri ini.
Sebagaimana signifikan sambutan Tahun Baru Cina yang diraikan dengan penuh tradisi berteraskan nilai-nilai murni, marilah kita teruskan usaha untuk mengukuhkan perpaduan dan menyemarakkan lagi erti kata keharmonian sedia ada bagi memastikan rakyat Pulau Pinang berkembang sebagai sebuah komuniti contoh yang mampu menginspirasikan seluruh negara.
Selamat Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai!