Tahun Baru Cina merupakan perayaan utama bagi masyarakat berketurunan Cina di seluruh dunia. Selain berpeluang untuk berkumpul dan menikmati ‘makan besar’ bersama-sama ahli keluarga dan saudara-mara khususnya, intipati sambutan yang menandakan bermulanya tahun baru dalam kalendar Cina merupakan saat ditunggu-tunggu semua, baik yang muda mahupun yang tua.
Di Malaysia, khususnya di negeri tercinta kita Pulau Pinang, sambutan Tahun Baru Cina adalah platform untuk mengeratkan lagi persefahaman serta keharmonian dalam kalangan etnik yang berbilang bangsa. Tahun 2022 merupakan ‘Tahun Harimau’ iaitu haiwan ketiga dalam kitaran zodiak Cina yang mana mengikut kepercayaan ia melambangkan keberanian, keyakinan dan ketangkasan antara lain memberikan kita semua kekuatan untuk menghadapi apa jua cabaran mendatang. Secara tidak langsung, elemen-elemen berkaitan boleh dijadikan sebagai sumber inspirasi dalam merealisasikan agenda pembangunan di Pulau Pinang sejajar dengan Visi Penang2030 iaitu ke arah sebuah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.
Modal insan yang merupakan tulang belakang dalam memacu pembangunan negeri sentiasa menjadi fokus utama saya. Sebagai rekod, Kerajaan Negeri meneruskan peruntukan bantuan kewangan pendidikan pada tahun ini berjumlah RM8.5 juta kepada Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK), Sekolah Menengah Cina Persendirian dan juga sekolah mubaligh. Melangkaui era pendigitalan dan Revolusi Industri 4.0, lokasi-lokasi berpotensi sebagai Daerah Digital Kreatif atau Creative Digital District (CD2) bakal dikenal pasti dan pelaksanaan projek 5G turut dipergiatkan demi memangkin perkembangan ekonomi, keusahawanan serta pemindahan teknologi.
Kerajaan Negeri terus komited memacu dan menempa nama sebagai negeri perindustrian sebagaimana dicapai dalam tempoh 50 tahun sebelum ini. Kejayaan kita bersama dalam menarik para pelabur sama ada dalam dan juga luar negara merupakan suatu pencapaian yang membanggakan terutamanya dalam tempoh pandemik ini. Perangkaan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi pelaburan sektor pembuatan diluluskan pada Januari hingga September 2021 adalah berjumlah RM2.9 bilion membabitkan 80 projek, dan sebanyak 6,661 peluang pekerjaan telah berjaya diwujudkan di negeri ini.
Infrastruktur awam demi rakyat, beberapa projek tebatan banjir dan lebuh raya yang telah dirancang berjaya direalisasikan iaitu Jalan Berkembar, Jalan Paya Terubong (Bukit Kukus) dan Tebatan Banjir Mak Mandin membabitkan peruntukan negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) berjumlah kira-kira RM423 juta. Momentum dan kesinambungan projek-projek berkenaan akan diteruskan demi kepentingan rakyat Pulau Pinang termasuk dua lagi bahagian Jalan Berkembar Bukit Kukus dan juga Pakej 2 – Jalan Pintasan dari Lebuhraya Tun Dr. Lim Chong Eu ke Air Itam yang dijangka siap pada tahun 2025.
Memegang status sebagai negeri berkebajikan, bantuan kewangan Program Penghargaan Warga Emas dan Bantuan Orang Kurang Upaya (OKU) dinaikkan kepada RM200 bermula pada tahun ini yang mana akan dimanfaatkan oleh 217,868 pemohon berdaftar. Bagi pengurusan hal ehwal bukan Islam pula, menerusi Tabung Amanah Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) Kerajaan Negeri, sejak tahun 2016 sehingga 2021, sejumlah RM4.18 juta telah dilulus dan disalurkan untuk kerja-kerja naik taraf serta pembangunan perlu tokong-tokong seluruh negeri ini.
Realitinya, 2022 kekal sebagai tahun yang mencabar dengan fokus masih tertumpu ke arah pemulihan pasca pandemik COVID-19. Walau bagaimanapun, Pulau Pinang akan terus melangkah dengan berani, dan barisan kepimpinan saya yakin serta komited bahawa perpaduan dan keharmonian di negeri ini menjadi asas penting untuk kita menempa kepelbagaian pencapaian lagi di persada dunia. Raikan dan dalami semangat Tahun Baru Cina dengan nilai-nilai kesyukuran bersama. Terus patuhi prosedur operasi standard (SOP) demi kebahagiaan keluarga serta komuniti kita.
Selamat Menyambut Tahun Baru Cina. Gong Xi Fa Cai!