Skip to content

Perutusan Tahun baru Cina oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow pada 21 Januari 2023 di Komtar, George Town

Saat yang ditunggu-tunggu akhirnya menjelang tiba. Malah, hari ini juga membawa pengertian cukup bermakna kepada masyarakat Cina di seluruh dunia yang mana sanak saudara akan pulang ke kampung halaman masing-masing untuk bersama-sama keluarga tersayang bagi meraikan tradisi ‘makan besar’ atau ‘reunion dinner’ sebelum bermulanya tahun baharu pada keesokannya.

Secara peribadi, peluang untuk berkumpul bersama-sama keluarga dari jauh serta dekat sambil menikmati hidangan tradisional turun-temurun adalah amat istimewa. Kita mengamati tahun Harimau yang telah berlalu dan menantikan tahun baharu yang menjelang tiba. Tahun 2023, kita mengalu-alukan kehadiran tahun Arnab atau ‘Water Rabbit’ di dalam kitaran zodiak Cina.

Kebijaksanaan, ketangkasan, kelincahan dan kepantasan yang menjadi sifat semulajadi arnab diharapkan menjadi pendorong kepada semua rakyat Pulau Pinang agar lebih maju ke hadapan dalam apa jua bidang untuk mencipta dan merencana masa depan yang lebih cemerlang ke arah merealisasikan Visi Penang2030 iaitu ke arah Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara.

Tidak dinafikan, tahun Harimau merupakan guru amat baik buat kita yang mana dengan semangat, keberanian dan kekuatan sebagai sebuah pasukan, kita mampu menempuhi kegetiran pandemik, cabaran ketidaktentuan ekonomi dunia yang turut menjejaskan percambahan keusahawanan setempat, kecelaruan kesihatan, peluang pembelajaran serta kerjaya dan lain-lain berkaitan dengan jayanya.

Kini, selaras dengan usaha pemulihan ekonomi negara dan kestabilan politik, 2023 bakal menjadi tahun yang menarik bukan hanya kepada industri pelancongan negara, malah juga sektor pelaburan; pembangunan modal insan terutamanya dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM); pelaksanaan projek-projek mega yang sebelum ini tertangguh; perumahan; perhubungan masyarakat; pendidikan; kesaksamaan gender; alam sekitar; agroteknologi serta jaminan rantaian makanan; keusahawanan; kecemerlangan sukan dan juga penumpuan kepada golongan belia demi masa depan negeri ini.

Umumnya, di Pulau Pinang, kita masih mengekalkan keharmonian dan prinsip demokrasi yang memberi kebebasan serta menjadi teras kepada keamanan negeri ini. Barisan kepimpinan Kerajaan Negeri akan terus berusaha bagi memastikan keamanan dan ketenteraman yang dikecapi selama ini terus kekal dipelihara. Inilah inti pati utama dalam membentuk Pulau Pinang yang sentiasa mantap, cemerlang serta digeruni di mata dunia.

Justeru, mengambil kesempatan ini, saya ingin mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada semua masyarakat Cina di seluruh negara dan Pulau Pinang khasnya. Dengan mandat yang diberikan rakyat negeri ini, saya berasa bersyukur dapat bersama-sama anda untuk terus membawa negeri Pulau Pinang ke masa depan yang lebih gemilang. Saya akan terus mengemudi kapal ini dengan penuh keyakinan, bersama-sama kita kekal dan perkukuhkan perpaduan sedia terjalin serta hargailah nilai keharmonian yang kita kecapi setiap hari di bumi ini.

Semoga Tahun Baru Cina ini disambut dengan meriah bersama-sama keluarga, sanak saudara dan juga rakan taulan kita tanpa mengira latar belakang serta kepercayaan agama. Semoga selamat tiba ke destinasi walaupun di mana jua anda berada. Terus semarakkan semangat muhibah dan raikan tahun baharu ini dengan penuh keberkatan serta kesejahteraan sesama kita.

Selamat Menyambut Tahun Baru Cina, Gong Xi Fa Cai!