Sambutan Tahun Baru Cina yang bakal bermula esok secara tradisinya disambut dengan upacara makan malam bersama-sama ahli keluarga dan sanak saudara atau ‘reunion dinner’ yang merupakan jamuan tahunan paling penting sebelum melangkah ke tahun baru pada keesokan harinya (12 Februari 2021). Kemeriahannya amat dirasai apatah lagi simbol-simbol tradisi perayaan seperti tanglung, limau mandarin, angpau, kuih sepit dan lain-lain perhiasan menghiasi segenap ruang rumah. Tahun ini mengikut astrologi Cina merupakan Tahun Lembu yang diharap dapat membawa lebih keberkatan, kesihatan optimum dan juga keharmonian berkekalan kepada semua khususnya seluruh rakyat Pulau Pinang.
Semestinya, sambutan pada tahun ini adalah berbeza, tidak seperti lazimnya, namun yang pasti bakal mencetuskan naluri kekitaan dan nilai kasih sayang dalam kalangan ahli keluarga walaupun tidak dapat berkumpul bersama-sama ekoran pandemik COVID-19. Usaha untuk membendung pandemik ini masih berliku dan memerlukan perjuangan, pengorbanan serta langkah masa yang panjang demi keselamatan sejagat.
Pematuhan prosedur operasi standard (SOP) adalah amat penting dalam memutuskan rantaian perebakan wabak ini, justeru Pulau Pinang pada tahun ini walaupun tidak menganjurkan sebarang majlis rumah terbuka secara fizikal sama ada di peringkat negeri mahupun Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN), namun penganjuran tahunan ‘Miao Hui’ tetap diteruskan yang mana buat julung kalinya diadakan secara maya. Malah, nyalaan lampu tanglung di kuil Kek Lok Si yang melambangkan simbolik sambutan Tahun Baru Cina bagi Pulau Mutiara mewarnai sambutan pada tahun ini.
Kerajaan Negeri sentiasa bersamamu. Dalam mendepani detik-detik sukar ini, kepimpinan Negeri terus komited membantu golongan terkesan menerusi Pakej Bantuan Rakyat Pulau Pinang yang diwujudkan khas bagi mendepani pasca COVID-19. Terkini merupakan peruntukan RM20 juta yang menjadikan jumlah bantuan disalurkan kepada kumpulan sasar sehingga kini berjumlah RM175.5 juta. Selain itu, bagi sektor pelancongan yang menerima impak langsung pandemik COVID-19, kepelbagaian inisiatif telah diambil menerusi penubuhan Tourism Penang Next Normal Taskforce yang kemudiannya mengilhamkan beberapa pendekatan antaranya, skim khas RM10 juta melalui ‘Zero Interest Loans’; penjenamaan destinasi sektor pelancongan TRAP – Penang: ‘A Safe Destination Here For Tomorrow’; perancangan strategi pasaran pemulihan dengan menerapkan ‘Penang Gradual Recovery Strategy – Travel Bubble’ dan juga mempromosikan ‘Responsible Tourism’ atau Pelancongan Bertanggungjawab bagi memastikan Pulau Pinang terus kekal unggul sebagai sebuah destinasi pelancongan dunia.
Sebagai sebuah negeri yang tidak memiliki sumber asli, pembangunan modal insan sentiasa dititikberatkan. Umumnya, Kerajaan Negeri memahami kesulitan dihadapi ibu bapa, guru dan pelajar dalam berdepan cabaran Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR). Berlandaskan itu, Kerajaan Negeri telah mengorak langkah menubuhkan Task Force Program Komputer E-Pembelajaran yang mana sehingga kini, lebih daripada 1,700 pelajar dan guru telah menerima manfaat daripada pelaksanaannya. Malah, secara tahunan, sebanyak RM12 juta diperuntukan sebagai bantuan modal bagi tujuan pembangunan sekolah di negeri ini yang mana sama ada digunakan untuk menaik taraf infrastruktur sedia ada ataupun keperluan-keperluan lain berkaitan.
Kebebasan serta keharmonian beragama sentiasa menjadi keutamaan. Sejak mula diperkenalkan pada tahun 2016 sehingga 2020, sebanyak RM6,775,484.44 telah diperuntukan melalui Tabung Amanah Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) untuk tujuan pemulihan dan menaik taraf 165 rumah-rumah ibadat bukan Islam di seluruh negeri ini selain kepelbagaian bantuan yang disalurkan dari semasa ke semasa.
Dalam terus memacu pembangunan ekonomi Pulau Pinang, projek-projek mega berkepentingan rakyat membabitkan penyediaan kemudahan infrastruktur ke arah merealisasikan Visi Penang2030: Negeri Pintar dan Hijau Berteraskan Keluarga Inspirasi Negara terus dibangunkan. Demi manfaat 1.7 juta rakyat Pulau Pinang, sepanjang tahun 2020, sebanyak lapan (8) projek berimpak besar (tebatan banjir) berjumlah RM39.2 juta telah dilaksanakan manakala RM13.3 juta dibelanjakan untuk menaik taraf sistem perparitan dan RM51.3 juta membabitkan 240 projek di bawah Jabatan Kerja Raya negeri telah dilaksanakan bagi keselesaan, percambahan peluang pekerjaan serta perkembangan sosial ekonomi yang lebih baik kepada rakyat negeri ini secara menyeluruh.
Mengambil kesempatan ini, saya menyeru rakyat negeri ini untuk terus komited memperkukuhkan perpaduan dalam kalangan kita tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya. Pupuk diri untuk terus kekal berdisiplin kendiri dalam menjaga kesihatan serta keselamatan bersama. Pematuhan SOP adalah vaksin terbaik!
Gong Xi Fa Cai!