Selesaikan Krisis Pendidikan Malaysia Dengan Menolak Keseragaman “Satu Saiz Untuk Semua” Dan Memilih Penyesuaian Yang Berbalik Kepada Prinsip Asas Untuk Mengejar Keunggulan Dan Pengajaran Kemahiran Kognitif Dan Bukan Kognitif.
Krisis pendidikan Malaysia kian merosot berdasarkan laporan penilaian terkini Organisation for Economic Co-operation and Development (OECD) yang menunjukkan hanya satu daripada 100 pelajar Malaysia yang berusia 15 tahun mampu menyelesaikan masalah yang rumit. Kami bersedia untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan bagi menangani jurang perbezaan yang luas antara pelajar terbaik dan yang paling teruk untuk meningkatkan taraf pendidikan.
Programme for International Student Assessment (PISA) 2012 sekali lagi meletakkan Malaysia di kedudukan 25% tercorot, pada tangga ke-39 daripada 44 negara, dalam ujian penyelesaian masalah kreatif. Menurut penilaian PISA, murid Malaysia berada 3 tahun di belakang murid terbaik dari Korea Selatan, Shanghai atau Singapura, dengan skor di bawah nilai purata dan menduduki tempat 52 daripada 65 negara dalam bidang Matematik, Sains dan membaca. Apa yang mengejutkan adalah Malaysia adalah lebih teruk berbanding Vietnam dan Thailand dalam bidang Sains dan Matematik.
Walaupun Malaysia melabur lebih daripada 20% daripada bajet negara dalam pendidikan, namun hasilnya tidak berbaloi memandangkan perbelanjaan lebih banyak tertumpu bagi memenuhi keperluan birokrat dan bukannya memenuhi aspirasi pelajar untuk memperolehi pengetahuan dan kemahiran bagi merealisasikan bakat dan potensi mereka. Sebagai contoh, Malaysia membelanjakan kurang daripada Thailand pada pendidikan bagi pelajar dalam sepuluh tahun pertama pendidikan mereka dari 6 tahun hingga 15 tahun.
Tanpa anjakan pemikiran ke arah pelaburan dalam pendidikan dan disertai dengan aspirasi tinggi sebuah negara untuk membina modal insan, bagaimana kita boleh berkembang menjadi ekonomi maju dan berpendapatan tinggi? Satu pendekatan ke arah menyelesaikan krisis pendidikan Malaysia adalah menolak keseragaman “satu saiz untuk semua” dan sebaliknya memilih penyesuaian yang berbalik kepada prinsip asas untuk mengejar keunggulan dan pengajaran kemahiran kognitif dan bukan kognitif.
Masanya telah tiba untuk memberi kuasa kepada guru-guru dengan memberi ganjaran yang terbaik, mendapatkan yang terbaik daripada mereka dengan pengajaran kognitif dan bukan kognitif agar mereka dapat membantu pelajar yang ketinggalan. Malaysia tidak mempunyai pilihan melainkan membangunkan sistem pendidikan berprestasi tinggi yang memberi tumpuan kepada kemahiran kognitif (pengetahuan fakta) dan bukan kognitif (kerja pasukan, kepimpinan dan komunikasi). Kita tidak boleh benarkan pendidikan menggagalkan agenda ekonomi negara.