Saya mengalu-alukan cadangan Kerajaan Negeri Johor untuk mewartakan 15 kawasan tadahan air dan empangan di negeri Johor sebagai kawasan larangan dan menggesa supaya penguatkuasaan di kawasan perlindungan tersebut dipertingkatkan selepas perwartaan dilaksanakan. Pada masa yang sama, pemuliharaan dan pemeliharaan kawasan tadahan yang telah terjejas juga perlu dimulakan dengan seberapa segera yang mungkin.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri Johor, Datuk Ir. Hasni Mohammad telah membuat pengumuman tersebut kepada media selepas merasmikan majlis Kepemimpinan Kejuruteraan Antara Universiti (Inter-Varsity Engineering Leadership) di Dewan Sultan Iskandar, Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Saya memandang langkah ini merupakan suatu langkah yang wajar walaupun agak terlambat. Bagaimana pun, hal ini perlu dijadikan suatu agenda yang mustahak bagi kerajaan semasa dan perlu disegerakan supaya sumber air di negeri Johor terjamin.
Baru-baru ini, pada 2 April, rakyat Johor dikejutkan oleh kejadian di mana bekalan air 250,000 penduduk di ibu kota negeri terputus disebabkan penutupan loji rawatan Semanggar dan Sungai Johor akibat tumpahan minyak diesel di kawasan hulu Sungai Johor. Dipercayai punya tumpahan diesel adalah sebuah kilang yang beroperasi berhampiran hulu Sungai Semanggar.
Kejadian ini adalah petanda dan amaran yang terjelas untuk kita supaya mengambil tindakan menyeluruh membanteras kegiatan guna tanah yang tidak selaras dengan matlamat perlindungan sumber air. Tanpa air yang bersih dan selamat, apa-apa pembangunan ekonomi pun tidak akan berhasil dan tidak bermakna.
Banyak sumber air di negeri Johor kini mengalami pencemaran pada tahap yang berlainan. Antara yang paling teruk adalah di Empangan Sembrong, Batu Pahat yang menjadi sumber air utama 200,000 orang penduduk di daerah Kluang. Ia disifatkan sebuah empangan yang mati perlahan-lahan (slowly dying) seperti yang dilaporkan dalam muka depan akhabr Bahasa Inggeris, The Star pada 17 Mac 2015 yang lalu. Masalah ini telah banyak kali menjejaskan kualiti air terawat daripada loji penapisan air sehingga penduduk sering kali mendapat bekalan air paip yang keruh lagi berbau.
Pada masa yang sama, pencerobohan kawasan tadahan juga akan memusnahkan ekosistem semulajadi yang berfungsi sebagai penakung air. Hal ini secara tidak langsung menerukkan lagi kekontangan air sungai atau empangan pada musim kemarau.
Hampir setiap tahun, penduduk di sekitar Kluang akan dihantui masalah gangguan bekalan air pada awal tahun. Baru-baru ini, kami terpaksa mengalami catuan air berjadual selama sebulan disebabkan produktiviti Loji Rawatan Air Sembrong Timur telah merosot satu pertiga daripada kira-kira 30 juta liter sehari (MLD) ke lebih kurang 20 MLD. Hal ini demikian disebabkan paras air di Sungai Sembrong yang menjadi sumber air mentah Loji terbabit telah turun ke paras kritikal ekoran musim kemarau selama dua bulan.
Saya tidak menafikan bahawa faktor iklim merupakan antara punca kemerosotan paras air di Sungai Sembrong. Bagaimanapun saya ingin menegaskan bahawa kemusnahan kawasan tadahan Sungai Sembrong serta pemantauan kegiatan guna tanah yang tidak mantap adalah penyumbang utama kemerosotan paras air itu.
Oleh yang demikian, penguatkuasaan dan pemulihan di kawasan tadahan air harus dimulakan dengan seberapa segera yang mungkin supaya sumber air kita akan sentiasa terjamin.