Tindakan pihak Polis menghalang penganjur BERSIH Sabah untuk mengadakan Pesta Demokrasi Bersih4 di Tanjung Lipat, Likas, Kota Kinabalu bermula 29 Ogos ini dengan alasan tidak mendapat kebenaran Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) amat tidak munasabah dan tidak berperlembagaan. Ia merupakan satu penghinaan terang-terangan pihak berkuasa kepada rakyat dimana hak berhimpun secara terang dan jelas termaktub dalam perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
DAP Sabah memandang serius dan amat kesal terhadap tindakan paranoid pihak berkuasa yang membelakangi semangat demokrasi menghalang penganjur dan orang ramai untuk meraikan Pesta Demokrasi Bersih4 yang dijadualkan berlangsung pada tarikh itu. DAP Juga kesal dengan pelbagai provokasi untuk menakut-nakutkan orang awam dari menyertai perhimpunan aman ini.
Saya selaku Pengerusi DAP Sabah dan Ahli Parlimen Kota Kinabalu ingin menyatakan sikap bahawa DAP Sabah menyokong pesta demokrasi ini atas semangat cintakan Malaysia dan menyeru seluruh kepimpinan, ahli dan penyokong untuk sama-sama meraikan demokrasi dan hak berhimpun secara aman yang dijamin perlembagaan.
Saya ingin mengingatkan semua pihak bahawa demokrasi bukanlah pilihanraya semata-mata manakala menyekat pengembangan demokrasi adalah sebuah tindakan autokratik yang bertentangan dengan jaminan Perlembagaan Persekutuan.
DAP Sabah mengambil pendirian ini kerana Pesta Demokrasi Bersih4 bertepatan dengan hasrat dan misi parti demi sebuah pilihanraya yang adil dan bersih, negara yang bersih, pengukuhan demokrasi berparlimen, hak untuk membantah dan menyelamatkan ekonomi Malaysia.
Umum megetahui bahawa Sabah telah lama dihantui dengan dilemma Pendatang Asing Tanpa Izin dan Projek IC. Telah wujud banyak bukti dalam Laporan Suruhanjaya Siasatan Pendatang Asing Tanpa Izin mengenai pemberian kad pengenalan kepada warga asing dengan begitu mudah. Keadaan ini telah menyebabkan Sabah semakin bermasalah apabila demografi politik, ekonomi dan budaya Sabah terus berubah akibat ‘warganegara ekspress’ yang ramai diberi kerakyatan dan kelayakan mengundi.
Ini jelas merupakan sebuah pengkhianatan terhadap rakyat Sabah. Tidak ada warganegara yang patriotik sanggup melihat masa depan negara atau negeri mereka dilacurkan sedemikian rupa demi kesinambungan kekuasaan UMNO – Barisan Nasional.
Pesta Demokrasi Bersih4 ini juga dilihat sebagai sebuah platform demokratik rakyat untuk menyatakan rasa kecintaan kepada negara yang tercinta di saat negara menghadapi satu demi satu musibah dan kesukaran akibat pengurusan negara yang tidak telus. Antaralain sejak terbongkarnya skandal RM2.6 bilion dan isu RM42 bilion 1MDB, ekonomi Malaysia dilihat semakin lemah dan terancam. Selain itu, saya percaya sebagai masyarakat yang patriotik, kita begitu gusar terhadap corak penurunan nilai matawang Ringgit yang kini melebihi RM4 berbanding USD1. Adakah ini salah rakyat?
Selain itu, tindakan melampau Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menggugurkan Tan Sri Muhyiddin Yassin dari jawatan Timbalan Perdana Menteri hanya kerana mengkritik dan mempersoalkan tindak tanduk Najib berhubung 1MDB amat dikesali. Begitu juga dengan tindakan siasat dan pindah kepada pegawai Penyiasat SPRM, menggantung lessen The Edge, menggugurkan Peguam Negara Tan Sri Gani Patail, membubarkan Jawatankuasa Khas menyiasat penyelewengan dan sebagainya. Segalanya berlaku dalam masa yang singkat dan ia jelas menunjukkan Najib sedang ketakutan dan tidak stabil.
DAP Sabah percaya masalah ekonomi dan kestabilan politik Malaysia hanya akan pulih jika sebuah pilihanraya diadakan SECARA ADIL DAN BERSIH di seluruh negara supaya rakyat dapat memberi mandat baharu kepada mana-mana parti untuk memerintah.
Adalah menjadi tanggungjawab rakyat untuk memilih kerajaan yang adil, bersih dan berintegriti dalam pilihanraya. Dengan menyertai Pesta Demokrasi Bersih4 ini, saya percaya ia akan memberi gambaran jelas kepada kerajaan supaya melakukan perubahan drastik demi menyelamatkan Malaysia.
Saya ingin mengingatkan pihak berkuasa dan peserta sepertimana yang dijelaskan penganjur Bersih Sabah bahawa pesta demokrasi ini merupakan sebuah acara aman. Sebarang tuduhan dari mana-mana pihak bahawa himpunan Bersih4 ini bertujuan untuk menjatuhkan kerajaan dengan cara yang tidak demokratik atau membuat kekacauan adalah amat tidak bertanggungjawab dan bukan merupakan sikap DAP Sabah.