Skip to content

Pewartaan Batu Sumpah Keningau sebagai Tapak Warisan Negara kejayaan DAP Sabah dan rakyat Sabah beri tekanan kepada kerajaan

Kerajaan Persekutuan akhirnya akur kepada perjuangan rakyat Sabah apabila Kementerian Pelancongan akhirnya mengumumkan untuk mengiktiraf Batu Sumpah di Keningau sebagai tapak warisan negara.

Keputusan itu telah diberikan oleh Menteri Datuk Seri Nazri Aziz ketika menjawab soalan parlimen saya berhubung pengiktirafan kerajaan terhadap monumen bersejarah tersebut pada petang hari ini (Isnin 16 November 2015).

Pengumuman ini merupakan sebuah detik bersejarah bagi DAP Sabah dan Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah diketuai Dr Edwin Bosi yang selama ini berjuang dan menghadapi pelbagai ugutan serta cemuhan pihak lawan yang menentang usaha kami menerapkan kesedaran Batu Sumpah di kalangan rakyat Sabah.

Ia juga sebuah kemenangan bagi seluruh rakyat Sabah khususnya kepada 60% populasi masyarakat Orang Asal yang menjadi rakyat Sabah.

Segala usaha keras kami memberi tekanan kuat kepada kerajaan supaya memenuhi segala jaminan yang terpahat pada Batu Sumpah Keningau supaya diwartakan dan diiktirf akhirnya membuahkan hasil.

Sejak Kempen Gerakan Batu Sumpah dilancarkan DAP Sabah pada bulan Ogos 2014 dengan kerjasama Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah, sebanyak 9 replika Batu Sumpah telah didirikan di Sabah. Antara daerah yang terlibat dalam kempen Batu Sumpah ini ialah di Penampang, Merotai, Keningau, Tenom, Inanam, Sook dan Matunggong.

DAP Sabah ingin merakamkan rasa bangga dan terima kasih diatas perjuangan Orang Asal Sabah khususnya demi mendapatkan hak, jaminan dan layanan wajar dari kerajaan.

Terima kasih kepada seluruh komrad yang telah berusaha keras memberi tekanan dan kesedaran kepada orang awam akan kepentingan Batu Sumpah. Terima kasih juga kepada Kementerian Pelancongan yang akhirnya mengiktiraf Batu Sumpah sebagai warisan negara.

Perlu diingat, Gerakan Batu Sumpah serata negeri Sabah ini melangkaui politik kepartian kerana ia melibatkan tradisi dan budaya seluruh rakyat Sabah sebagai peringatan terhadap jaminan bersejarah diberikan kepada rakyat pedalaman Sabah mengenai tiga hak mereka sewaktu penubuhan Malaysia pada tahun 1963 mengenai agama, tanah dan adat resam.

Kami berharap, proses pewartaan ini dapat dijalankan dengan segera dan lancar serta mendapat kerjasama pihak berkuasa tempatan tanpa sebarang bias politik.

Persoalan seterusnya ialah, adakah kerajaan akan melunaskan “Jaminan” mereka kepada rakyat Sabah? DAP Sabah melalui Majlis Perundingan Orang Asal DAP Sabah akan terus berjuang sehingga segala jaminan kerajaan pada Batu Sumpah dimartabatkan.