Skip to content

PH Cameron Highlands Buat Laporan Polis terhadap Muhyiddin

Pakatan Harapan Cameron Highlands, termasuk Ahli Dewan Negeri Tanah Rata Ho Chi Yang dan Ketua Cabang Cameron Highlands PKR Encikl Ismail bin Mohd Hussin, telah membuat laporan polis di Balai Polis Tanah Rata, Cameron Highlands pada hari ini (21/8) dan meminta pihak PDRM menyiasat kenyataan Tan Sri Muhyiddin Yassin terhadap Kebawah Duli Paduka Baginda Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah yang boleh dianggapkan sebagai penghinaan terhadap institusi diraja.

Tan Sri Muhyiddin Yassin telah membuat kenyataan yang mempertikaikan keputusan Yang di-Pertuan Agong dalam melantik Perdana Menteri Ke-10 dalam ceramah politik pilihan raya kecil DUN Nenggiri Negeri Kelantan, dan rakaman ceramah ini telah menular di sosial media TikTok. Tindakan beliau adalah tidak berasas dan amat tidak bertanggungjawab serta boleh merosakkan reputasi institusi diraja, yang boleh membangkitkan kemarahan rakyat.

Tuduhan Tan Sri Muhyiddin Yassin ini adalah pelanggaran secara terang-terangan terhadap dasar kerajaan yang menolak segala tindakan yang memainkan isu 3R, iaitu Race (Perkauman), Religion (Agama), dan Royalti (Raja-raja). Tan Sri Muhyiddin Yassin telah menghina dan memperlekeh keperipadian baginda Sultan Pahang yang telah cuba sedaya upaya agar mencari penyelesaian terbaik dalam pelantikan perdana menteri ke-10 dan telah berjaya menghentikan kemelut politik daripada terus berpanjangan.

Walaupun Istana Pahang telah menyuarakan rasa murka terhadap kenyataan Tan Sri Muhyiddin, beliau masih enggan memohon maaf atau mengakui kesilapannya. Sikap seperti ini telah mencerminkan kurangnya kematangan dan ketidakpatuhan terhadap proses perlembagaan serta penghormatan kepada institusi diraja yang memainkan peranan penting dalam menjamin kestabilan negara.

Memandangkan Perlembagaan Persekutuan dengan jelas memberikan kuasa kepada YDPA untuk melantik seorang Perdana Menteri yang pada hematnya mendapat kepercayaan majority Ahli Dewan Rakyat berdasarkan Perkara 40(2) dan 43(2), kami berpendapat bahawa sebarang percubaan untuk mempersoalkan kuasa YDPA dalam hal ini adalah tindakan yang tidak wajar dan boleh mengundang ketidakstabilan politik.

Oleh itu, Pakatan Harapan Cameron Highlands menggesa pihak berkuasa untuk mengambil tindakan yang menyeluruh dalam menyiasat perkara ini. Bak kata pepatah, “Kerana pulut santan binasa, kerana mulut badan binasa.” Sebagai seorang pemimpin dan mantan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin sepatutnya lebih bertanggungjawab serta berhati-hati dalam pertuturan dan tindakan demi menjauhi diri daripada budaya politik cercaan, fitnah, dan penghinaan terhadap institusi-institusi utama negara.