Calon Pakatan Harapan (PH) N.22 Tanjung Aru, Datuk Chan Foong Hin, hari ini menggariskan aspirasi komprehensif untuk memajukan komuniti Pulau Gaya melalui peningkatan pendidikan, pengangkutan pelajar serta infrastruktur telekomunikasi yang lebih moden dan berdaya tahan.
Dalam satu kenyataan hari ini, beliau menegaskan bahawa masa depan Pulau Gaya perlu diperkukuh dengan peluang yang adil, kemudahan asas yang lengkap dan sokongan kerajaan yang konsisten, khususnya setelah kawasan tersebut dipinggirkan selama dua penggal.
Sebagai komitmen awal, Datuk Chan mengumumkan tawaran perkhidmatan tambang bot percuma kepada semua pelajar SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya sepanjang musim persekolahan.
Katanya, perjalanan harian pelajar sering berdepan cabaran serta beban kewangan, justeru inisiatif ini bertujuan memastikan mereka dapat ke sekolah dengan selamat, lancar dan tanpa kos tambahan.
Beliau menekankan bahawa pendidikan berkualiti hanya dapat dicapai apabila akses ke sekolah tidak lagi menjadi halangan utama kepada anak-anak Pulau Gaya.
Dalam usaha memperkukuh prasarana pendidikan, Datuk Chan turut memaklumkan bahawa Kerajaan MADANI telah meluluskan peruntukan RM260 juta bagi membina sebuah kompleks pendidikan baharu di kawasan daratan sebagai pengganti sekolah-sekolah atas air yang sering berisiko dilanda ribut dan hakisan ombak.
Awal bulan ini, Chan bersama Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh, telah turun melakukan lawatan tapak bagi meneliti kawasan pembangunan tersebut.
Menurut Chan, kompleks yang dicadangkan akan merangkumi pembinaan semula sepenuhnya SK Pulau Gaya dan SMK Pulau Gaya, masing-masing dilengkapi 36 bilik darjah, dewan besar, padang sukan serta pelbagai kemudahan sokongan lain.
Chan menyatakan keyakinannya bahawa projek ini kelak akan menyediakan persekitaran pembelajaran yang lebih kondusif dan selamat, di samping memastikan pelajar tidak lagi perlu menyewa padang di bandar bagi tujuan aktiviti sukan dan kokurikulum.
Selain pendidikan, beliau turut memberi penekanan terhadap keperluan akses digital moden yang setara dengan kawasan bandar lain.
Menurutnya, ramai penduduk Pulau Gaya berdepan kesukaran akibat liputan internet yang lemah sehingga menjejaskan urusan harian. Beliau sendiri turut mengalami masalah menghantar mesej dan membuat panggilan setiap kali berada di pulau tersebut.
Bagi mengatasi isu ini, Datuk Chan telah mengadakan pertemuan dengan Timbalan Menteri Komunikasi, YB Teo Nie Ching, minggu lalu bagi menyampaikan keluhan penduduk.
Satu berita baik telah disampaikan oleh pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) bahawa sebuah menara telekomunikasi setinggi 30 meter dengan liputan 5G penuh telah diluluskan untuk dibina di Kampung Kasuapan — satu perkembangan penting yang dijangka membuka lembaran baharu dalam penyediaan rangkaian moden di Pulau Gaya.
Datuk Chan menegaskan bahawa keseluruhan inisiatif ini mencerminkan iltizam PH untuk memastikan komuniti Pulau Gaya tidak lagi tercicir dalam pembangunan asas. Beliau mahu penduduk Pulau Gaya menikmati kemudahan yang adil, moden dan setara dengan penduduk di mana-mana kawasan lain di bandar.
“Urang-urang kampung Pulau Gaya berhak menerima peluang yang sama. Dengan sokongan Kerajaan MADANI, kita dapat memastikan tiada komuniti yang terus dipinggirkan daripada arus pembangunan,” katanya.