Skip to content

PH telah memulakan projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tetapi PN dan BN telah membekukan projek tersebut sehingga sekarang

Setelah disabit bersalah atas tuduhan pecah amanah dan salah guna kuasa dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta, Najib Razak nampaknya semakin terdesak kerana tarikh masuk penjara semakin dekat.

Terbaru Najib mendakwa kononnya Pakatan Harapan tidak meneruskan semula projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP) dan kononnya menggunakan kroni.

Hakikatnya, PH telah memulakan projek pembesaran LTAPP dan kebenaran kerja-kerja pemajuan projek tersebut telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan pada Disember 2019.

Kerja-kerja selanjutnya sepatutnya diteruskan, tetapi malangnya, selepas Langkah Sheraton pada Februari 2020, kerajaan Perikatan Nasional dan Barisan Nasional telah membekukan projek tersebut sehingga sekarang.

Faktanya mudah sahaja:

  1. Di bawah kerajaan persekutuan Pakatan Harapan, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang dianugerahkan melalui kaedah tender terbuka.
  2. Melalui tender terbuka, syarikat yang terbaik akan dipilih secara telus, tidak timbul isu kroni mendapat projek. Mungkin Najib yang terpalit dengan skandal kewangan berskala global ini tidak faham amalan tender terbuka, justeru dia membuat pelbagai fitnah dan tuduhan kononnya melibatkan kroni.
  3. Pada Julai 2019, permohonan projek pembesaran LTAPP telah dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Pulau Pinang dan kelulusan telah diberikan oleh Majlis Bandaraya pada Disember 2019.
  4. Malangnya, pada Februari 2020, selepas Langkah Sheraton, Menteri Pengangkutan kerajaan PN-BN, Wee Ka Siong telah membekukan projek tersebut.
  5. Selepas kerajaan persekutuan diambil alih oleh UMNO-BN pada Ogos 2021, projek pembesaran Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang tetap dibeku dan belum dipulihkan semula sehingga kini.

Jika benar UMNO dan BN tidak berniat menghentikan projek pembesaran LTAPP, maka PM dari UMNO dan Menteri Pengangkutan dari BN harus memulihkan semula projek tersebut dengan serta merta.

Najib yang sedang menunggu tarikh masuk penjara kini dalam keadaan terdesak, ini cubaan terakhirnya untuk mengelirukan rakyat Malaysia menggunakan fitnah dan penipuan.

Memang benarlah bahawa kata-kata seorang penjenayah yang sudah disabit kesalahan pecah amanah, “dengar boleh, percaya jangan”.

Jika betul seperti yang dikatakan oleh Najib bahawa UMNO dan BN tidak berniat untuk menghentikan projek pembesaran LTAPP, maka Perdana Menteri sekarang dari UMNO dan Menteri Pengangkutan dari BN harus memulihkan kembali projek tersebut dengan serta merta.