Skip to content

Pick pelajar/remaja Pulau Pinang bermula

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi golongan pelajar serta remaja di negeri ini bakal bermula esok, 22 September 2021 (Rabu). Sebagai permulaan (esok) vaksinasi akan membabitkan para pelajar (16 hingga 17 tahun) yang beralamat tetap di negeri Pulau Pinang tetapi berasrama penuh di luar negeri Pulau Pinang.

Janji temu para pelajar berkaitan akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera, dan ibu/bapa/waris/penjaga perlu hadir bersama serta dinasihatkan supaya membawa dokumen-dokumen perlu terutamanya Borang Persetujuan Suntikan Vaksin COVID-19 bagi memastikan proses vaksinasi berjalan dengan lancar.

Dalam pada itu, pada 23 September 2021 (Khamis) bermula pada jam 9 pagi hingga 12 tengah hari, sesi vaksinasi membabitkan golongan pelajar sekolah berusia 16 hingga 17 tahun (tanpa komorbid) di enam (6) Pusat Pemberian Vaksin (PPV) adalah seperti berikut:-

  1. PPV SPICE Convention Centre;
  2. PPV Tapak Ekspo Seberang Jaya;
  3. PPV Vangohh Eminent Hotel;
  4. PPV Dewan Perda Convention Centre;
  5. PPV Dewan Millenium;
  6. PPV Dewan Serbaguna Sungai Bakap.

Semua janji temu akan dimaklumkan menerusi aplikasi MySejahtera. Selain perlu hadir bersama-sama sepanjang proses pemberian vaksin, ibu/bapa/waris/penjaga juga perlu memastikan semua dokumen pengenalan diri pelajar dan Borang Persetujuan Suntikan Vaksin COVID-19 adalah ditandatangani serta dibawa bersama.

Kepada remaja berusia 12 hingga 17 tahun dengan komorbid, janji temu vaksinasi akan dijalankan di hospital-hospital terdekat dan makluman janji temu juga adalah menerusi aplikasi MySejahtera.

Dapatkanlah vaksin anda ke arah membentuk imuniti kelompok di Pulau Pinang. Penang Lawan COVID-19!