Kerajaan Negeri mengambil maklum semua kenyataan Ahli Parlimen Bagan, YB Tuan Lim Guan Eng berkaitan penubuhan Pusat Kewangan Antarabangsa Pulau Pinang atau Penang International Financial Centre (PIFC). Sebagaimana makluman, sehingga kini, masih tiada sebarang keputusan dibuat atau dimuktamadkan oleh pihak Kerajaan Negeri termasuk lokasi zon PIFC.
Adalah ditegaskan bahawa rancangan untuk menjadikan Pulau Pinang sebagai hab kewangan merupakan aspirasi jangka panjang bagi memperkukuh asas ekonomi negeri dalam kerangka yang lebih besar, iaitu menjadikan Pulau Pinang sebagai hab inovasi teknologi serantau berdaya saing dan berimpak tinggi. Walaupun pada masa ini Kerajaan Persekutuan masih belum memuktamadkan rangka kerja menyeluruh untuk inisiatif ini, Kerajaan Negeri Pulau Pinang melalui badan pemikir, Penang Institute (PI) kekal komited untuk menyediakan asas yang kukuh. Sehubungan itu, sesi libat urus bersama-sama dengan pemain industri berpotensi diteruskan secara berfasa dan berperingkat bagi membina keyakinan pasaran dan meneliti keperluan sebenar industri.
Dalam hal ini, ingin dimaklumkan bahawa perbincangan pada peringkat tertinggi bersama-sama dengan pengawal selia utama sedang dijalankan, termasuk pihak Bank Negara Malaysia (BNM), Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) dan Lembaga Perkhidmatan Kewangan Labuan atau Labuan Financial Services Authority (LFSA). Tujuan perbincangan ini adalah untuk memastikan cadangan yang dikemukakan bukan sahaja bersifat inovatif, tetapi juga mematuhi perundangan, berintegriti tinggi dan selari dengan Pelan Induk Sektor Kewangan negara, serta tidak menimbulkan sebarang pertindihan dengan rantaian sedia ada.
Hakikatnya, Pulau Pinang mempunyai satu kekuatan yang sangat unik iaitu ekosistem perindustrian dan pembuatan berteknologi tinggi yang telah lama terbina. Justeru, berlandaskan fakta tersebut, Pulau Pinang akan memfokuskan kepada segmen kewangan khusus iaitu aset digital, teknologi kewangan atau fintech dan perkhidmatan kewangan berkaitan pembuatan, termasuk pembiayaan rantaian bekalan, perdagangan, pengurusan risiko serta inovasi industri dalam hala tuju penubuhan PIFC.