Skip to content

Pihak berkuasa mesti menjalankan siasatan ke atas semua transaksi kewangan YR1M

Menurut laporan Wall Street Journal, syarikat bermasalah milik negara, 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah membeli Genting Sanyen pada harga yang sangat tinggi, RM2.3 bilion dan memberikan keuntungan yang amat besar kepada kumpulan Genting sebanyak RM1.9 bilion sepertimana yang dilaporkan dalam Laporan Tahunan 2012 kumpulan syarikat itu.

Kumpulan syarikat Genting pula dilaporkan telah menderma sekurang-kurangnya RM25 juta kepada Yayasan Rakyat 1Malaysia (YR1M), atau menyumbang sehingga setinggi RM190 juta bagi tujuan pilihanraya tahun 2013.

Kita sedia maklum bahawa kedua-dua 1MDB dan YR1M dikawal Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, tetapi kita tiada maklumat samada YR1M satu tabung peribadi Perdana Menteri.

Sekiranya YR1M tidak dimiliki oleh kerajaan, adakah sumbangan dan derna daripada syarikat-syarikat Genting ini bagi kegunaan ‘peribadi’ Perdana Menteri tidak salah di sisi undang-undang?

Sekiranya YR1M dimiliki oleh kerajaan, adakah Perdana Menteri dan Barisan Nasional seakan telah ‘membeli pilihanraya tahun 2013’ dengan dana terkait syarikat 1MDB yang sedang berhadapan masalah membayar hutang berjumlah RM42 bilion?

Saya telah membuat satu aduan di Balai Polis Jinjang semalam berhubung perkara-perkara ini, pihak berkuasa tidak kira polis mahupun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Bursa Malaysia atau Bank Negara mesti menjalankan siasatan ke atas semua transaksi kewangan YR1M, terutamanya yang melibatkan kumpulan syarikat Genting ini.