Baru-baru ini, pihak ICU Jabatan Perdana Menteri (JPM) telah mengeluarkan senarai barangan keperluan yang patut dibelanjakan oleh setiap ahli parlimen menggunakan RM300,000 yang diberikan melalui Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH).
Walau bagaimanapun, syarat-syarat yang dikenakan dalam penggunaan dana yang diberikan ini sangat renyah dan hanya menyusahkan, lebih-lebih lagi kepada ahli parlimen pembangkang. Harga siling RM100 yang dikenakan untuk sebuah keluarga juga menyebalkan! Sebuah keluarga yang mempunyai sembilan orang anak sudah semestinya memerlukan belanja lebih dari RM100 dari sebuah keluarga yang mempunyai satu anak. Syarat-syarat yang dikenakan seolah-olah tidak mahu rakyat mendapat bantuan!
Tambahan pula, melihat kepada keputusan pihak JPM, perbincangan teliti perihal logistik di dalam pelaksanaan pemberian bakul makanan ini seolah-olah tidak ada! Pertamanya, barangan-barangan keperluan ini, yang mana kebanyakannya mesti barangan makanan, perlu dibeli dan disimpan di sebuah tempat yang memadai. Selain itu, pengagihannya juga harus dilakukan secepat mungkin bagi mengelakkan barangan makanan yang rosak. Dengan tenaga kerja yang kecil, pejabat ahli parlimen diminta untuk melakukan semuanya dari awal hingga akhir, bermula dari proses membeli barangan, menyusun atur, membungkus dan mengagihkannya kepada mereka yang memerlukan.
Mudah bagi pihak JPM untuk menyalurkan dana tersebut dan memberi syarat untuk membelanjakan dana tersebut tanpa mengambil kira halangan berkaitan.
Sewajarnya, pihak JPM patut memberikan kuasa budi bicara kepada ahli parlimen untuk menggunakan dana tersebut supaya dana tersebut boleh dibelanjakan mengikut kesesuaian keadaan masyarakat di sesebuah kawasan parlimen. Cadangan yang baik adalah untuk peruntukan tersebut digunakan dengan menyediakan baucar beli belah, dilakukan dengan kerjasama kedai-kedai runcit terpilih di dalam kawasan parlimen. Syarat-syarat yang dikenakan adalah seperti mana-mana baucar rangsangan, yang mana penerima tidak boleh membeli rokok, kad tambah nilai dan juga minuman beralkohol. Melalui pelaksanaan ini, individu yang memerlukan boleh memilih apa yang mereka boleh beli dan sekiranya sesebuah keluarga tersebut mempunyai ahli yang ramai, lebih banyak baucar beli belah boleh diberikan kepada mereka.
Jikalau Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) boleh beri mereka yang terkesan dengan baucar beli belah, mengapa ahli parlimen tidak boleh melakukan perkara yang sama?
Senarai yang dikeluarkan ini jelas menunjukkan betapa terpisahnya pihak-pihak atasan dengan keluh kesah dan kesusahan yang rakyat alami sekarang. Sudah terang lagi bersuluh, spesifikasi barangan keperluan ini dikarang ruangan pejabat berdingin hawa dan dari mereka yang mempunyai gaji yang berterusan.
Sudah tiba masanya untuk pihak kerajaan cakna dengan sengsara yang dilalui rakyat di dalam waktu PKP seperti ini!