Merujuk kepada laporan akhbar pada 5 Jun 2017 mengenai hasil kutipan dari bahan kitar semula, berikut dikemukakan maklumbalas.
Dimaklumkan bahawa pihak MBPP dan MPSP hanya menjalankan kutipan barangan kitar semula pada setiap Sabtu bagi kawasan taman perumahan sahaja. Barangan kitar semula yang dipungut akan dikumpulkan di 9 Depoh Pembersihan MPSP yang terdapat di Seberang Perai, manakala bagi MBPP ianya dihantar ke Tapak Pelupusan Jelutong. Sisa kitar semula ini akan dijual kepada ejen kitar semula yang dilantik.
Sejumlah RM39,538.75 telah dipungut hasil jualan barangan kitar semula dalam tempoh mulai Jun 2016 sehingga kini di seluruh Negeri Pulau Pinang (MBPP – RM13,938.40; MPSP – RM25,600.35). Hasil jualan barangan kitar semula adalah dimasukkan ke dalam akaun hasil PBT.
Memandangkan Pulau Pinang hanya mensyaratkan pengasingan sisa kepada sisa baki dan sisa kitar semula sahaja, kebanyakkan sisa kitar semula yang dipungut adalah dikategorikan sebagai sisa bercampur. Selain itu, sisa lain yang banyak dikutip adalah plastik dan kertas.
Tujuan utama Dasar Pengasingan Sisa Di Punca di Negeri Pulau Pinang adalah bagi mengurangkan sisa pepejal yang dilupuskan di Tapak Pelupusan Pulau Burung, Seberang Perai Selatan yang merupakan satu-satunya tapak pelupusan yang ada di Negeri Pulau Pinang. Memandangkan Pulau Pinang berhadapan dengan isu kekangan tanah, adalah penting untuk memastikan tapak pelupusan sedia ada bertahan selama mungkin memandangkan penduduk Pulau Pinang menghasilkan 1,800 tan sampah sehari dan kebanyakkan sisa yang dibuang adalah sisa yang masih boleh digunakan dan sepatutnya dapat diselamatkan daripada dilupuskan selama lamanya.
Selain itu, dengan pengurangan sisa pepejal yang dilupuskan, kos pelupusan yang dijimatkan dapat dialirkan kepada tujuan pembangunan infrastruktur yang lebih baik kepada penduduk.
Dimaklumkan bahawa bajet bagi tujuan pembersihan awam di MBPP adalah sejumlah RM102,055,802.00 bagi tahun 2015 manakala RM107,870,859.00 bagi tahun 2016. MPSP pula adalah RM93,677,730.00 bagi tahun 2015 manakala RM98,995,175.00 bagi tahun 2016.
Sebanyak 8 kategori utama akan terlibat iaitu rumah taman perumahan, rumah kampung, apartment dan kondominium, PPRT, institusi dan kompleks kerajaan,hotel kilang dan outlet makanan dan pasaraya.
Bagi kategori kampung, pihak JKKK diminta menguruskan kutipan dan penjualan barangan kitar semula. Bagi 6 kategori yang lain, urusan pengumpulan dan penjualan barang kitar semula adalah dibawah tanggungjawab pengurusan masing-masing.
Bagi perlaksanaan untuk kategori taman perumahan, penduduk mempunyai pilihan terhadap sisa kitar semula yang diasingkan iaitu boleh dihantar ke pusat kitar semula komuniti, dijual terus kepada pemungut yang berlesen ataupun diletakkan di tepi tong sampah pada setiap hari Sabtu untuk kutipan oleh pihak MBPP dan MPSP.
Pihak PBT lebih menggalakkan pihak organisasi komuniti untuk melaksanakan sendiri pengumpulan dan penjualan barangan kitar semula kepada pemungut yang dilesenkan. Ini supaya organisasi komuniti setempat mempunyai sumber pendapatan sampingan bagi menjalankan aktiviti. Melalui pendapatan tambahan yang diterima ini, diharapkan komuniti setempat akan lebih bertanggungjawab serta bermotivasi bagi menjalankan pengasingan sisa kitar semula.