Sebagai menteri yang bertanggungjawab bagi hal penguatkuasaan undang-undang, Menteri Dalam Negeri Ahmad Zahid Hamidi nampaknya merasakan undang-undang itu berada di telapak kakinya; dan dengan selamba mengeluarkan kenyataan yang menghasut perpecahan apabila mendakwa kaum bukan-Melayu semakin bongkak dan menghina orang Melayu Bumiputera, institusi raja-raja dan agama Islam.
Zahid dengan bersahaja menyatakan tuduhan sedemikian tanpa memberikan sebarang fakta atau bukti. Ini bukan sahaja suatu fitnah malah merupakan kesalahan fitnah jenayah di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan.
Zahid Hamidi barangkali sudah lupa ajaran agama Islam untuk mendatangkan bukti-bukti apabila membuat tuduhan, dan beliau juga turut lupa bahawa agamanya menyatakan bahawa fitnah itu lebih berat dosanya daripada membunuh.
Namun saya merasakan bahawa Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar akan pastinya membutakan mata dan memekakkan telinga daripada ucapan provokatif sedemikian daripada menterinya. Apa yang lebih merunsingkan saya ialah, adakah pihak polis akan memberi layanan buruk kepada warganegara bukan Melayu setelah menteri mereka mengeluarkan kenyataan sedemikian?
Saya juga tidak akan terkejut sekiranya menteri-menteri parti bukan Melayu daripada MCA dan MIC akan mendiamkan diri dan menyorok dalam kelambu tidak mahu berbicara sepatah mengenai tuduhan Zahid ini. Mereka pastinya tidak berani menegur Umno, kerana mereka sebenarnya bergantung hidup kepada Umno.
Namun saya teringin melihat sekiranya menteri hal ehwal integriti Datuk Paul Low serta pemimpin-pemimpin masyarakat bukan-Melayu seluruh negara akan membuat sebarang kenyataan mengenai dakwaan palsu Zahid ini
Saya malah akan bertambah terperanjat sekiranya Perdana Menteri Najib Razak sendiri menegur kelancangan mulut Ahmad Zahid; memandangkan senjata perkauman adalah memang prosedur operasi standard (SOP) dalam aktiviti politik Umno sejak sekian lama.
Zahid Hamidi sewajarnya diambil tindakan oleh pihak polis atas ucapannya yang bersifat perkauman itu. Jangan sekadar ambil tindakan terhadap ahli akademik dan pakcik-pakcik tua peronda sukarela sahaja.