PAS dan Perikatan Nasional (PN) mahu pilihan raya umum di enam negeri untuk membawa kepada kejatuhan Kerajaan Perpaduan Anwar.
Timbalan Presiden PAS, Tuan Ibrahim Tuan Man, memberitahu ahli-ahli PAS di Pahang: “Jika kita dapat pertahankan Kelantan, Terengganu, Kedah dan tawan Selangor, Negeri Sembilan, insya-Allah kerajaan pusat akan tergugat dan tidak mustahil akan jatuh.”
Saya bersetuju dengan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli, yang mengatakan sukar dari “segi angka” untuk kerajaan persekutuan tumbang selepas pilihan raya umum di enam negeri pada bulan Ogos memandangkan undi tidak percaya tidak akan terjadi di Parlimen kerana Ahli-ahli Parlimen tidak lagi boleh menukar parti mereka.
Tetapi, pilihan raya umum di enam negeri ini mempunyai kepentingan yang lebih besar dari menentukan sama ada Kerajaan Perpaduan Anwar ini akan dapat ditumbangkan atau tidak, kerana pilihan raya ini akan menentukan sama ada Malaysia dapat diselamatkan dan dapat kembali semula kepada prinsip-prinsip asal pembinaan sebuah Malaysia majmuk seperti yang diterapkan oleh tokoh-tokoh kemerdekaan negara (termasuklah tiga Perdana Menteri terawal negara yang juga merupakan Presiden UMNO) ke dalam Perlembagaan dan Rukun Negara.
Malaysia memerlukan sekurang-kurangnya sepuluh tahun untuk menghentikan kemerosotan yang disaksikan selama ini menjadi juara dunia sekali lagi dan menjadi contoh dialog, persefahaman, toleransi, dan keharmonian antara etnik, agama, budaya, dan tamadun kepada dunia.
Kita sudah ada permulaan dengan tujuh bulan bersama Kerajaan Perpaduan Anwar.
Adakah rakyat Malaysia akan mengabaikan usaha besar untuk menyelamatkan negara dan mengembalikan Malaysia kepada prinsip-prinsip asal kita untuk membina sebuah negara majmuk dan memilih untuk kembali kepada hala tuju sebelum ini ke arah Malaysia sebagai sebuah negara yang berpecah belah, gagal, dan teruk dalam dekad-dekad yang akan datang?
Inilah pilihan yang perlu dibuat oleh rakyat Malaysia di enam negeri yang berhadapan dengan pilihan raya pada bulan Ogos ini, bagi pihak semua rakyat Malaysia.