Tugas dan tanggungwajab seorang wakil rakyat bukanlah sekadar menjadi ketua atau pemimpin masyarakat. Banyak lagi komitmen tersirat dalam jawatan itu. Rakyat mempunyai harapan yang terlalu tinggi terhadap wakil yang dipilih olehnya. Akhirnya seorang wakil rakyat diheret untuk melakukan perkara-perkara yang tidak berada di bawah bidang kuasa atau kewajibannya.
Adakah seorang ADUN atau Ahli Parlimen mempunyai tugas untuk melihat longkang tersumbat, masalah sampah sarap dan rumput yang tidak dipotong? Semua ini terletak di bawah bidang kuasa kerajaan tempatan. Yang bertanggungjawab menyelesaikan hal ini adalah Ahli-ahli Majlis. Setiap Majlis Bandaraya, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah mempunyai Ahli-ahli Majlis masing-masing. Ahli-ahli Majlis ini adalah lantikan politik dan bukannya dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya.
Oleh yang demikian, Ahli-ahli Majlis ini tidak menunjukkan komitmen sepenuhnya terhadap rakyat. Mereka tidak melaksanakan tanggungjawab yang dikurniakan itu dengan dedikasi dan hati terbuka. Malah ramai diantara mereka menganggap jawatan itu sebagai “itik bertelur emas’ untuk mencari kekayaan dan kemewahan. Akhirnya wakil rakyat yang dipilih oleh rakyat menjadi mangsa.
Oleh kerana Ahli-ahli Majlis tidak menjalankan tugas dengan baik, maka rakyat memilih untuk memanggil wakil rakyat bagi membuat aduan-aduan kecil seperti masalah longkang, sampah dan rumput. Jika wakil rakyat pula tidak melayan aduan-aduan kecil ini, dia dianggap tidak prihatin. Malah sokongan terhadapnya akan menjadi semakin pudar.
Bagi mengelakkan keadaan ini, wakil rakyat terpaksa menggunakan masa keemasan mereka itu untuk melayan perkara-perkara yang remeh temeh. Ini menyebabkan mereka kehilangan masa untuk membuat kerja-kerja yang sepatutnya dilakukan sebagai seorang ADUN ataupun Ahli Parlimen. Seseorang ADUN dan Ahli Parlimen sepatutnya mempunyai masa yang mencukupi untuk menyelidik, mengkaji dan merumus undang-undang yang baik untuk rakyat.
Inilah tanggungjawap yang paling penting yang perlu dipikul oleh wakil rakyat di bawah sistem demokrasi berparlimen. Tetapi, apa yang berlaku di negara kita adalah agak berbeza. Seseorang wakil rakyat diharapkan untuk membuat kerja-kerja yang remeh dan menghadiri majlis-majlis keramaian yang diundang. Tambahan pula, mereka juga terpaksa mengambil ruangan masa yang luas untuk berpolitik.
Bagaimanakah kita menyelesaikan masalah ini? Pertama, rakyat harus sedar apakah tugas dan tanggungjawab seorang ADUN dan Ahli Parlimen. Tugas wakil rakyat tidak dicampur aduk dengan tugas Ahli Majlis. Masing-masing mempunyai tugas yang berasingan yang perlu dilaksanakan dengan komitmen yang tinggi.
Kedua, Parlimen harus meminda undang-undang sedia ada untuk membolehkan Suruhanjaya Pilihanraya mengadakan pilihanraya peringkat kerajaan tempatan. Setiap Ahli Majlis harus dipilih oleh rakyat tempatan. Ini secara langsung mewujudkan persaingan yang sihat antara parti-parti politik yang bertanding bagi jawatan Ahli Majlis.
Ini juga memberi peluang kepada rakyat tempatan untuk mengenali siapakah Ahli Majlis yang mereka pilih itu. Hari ini, rakyat tempatan langsung tidak mengenali siapakah Ahli Majlis yang bertanggungjawab menjaga zon mereka.
Apabila Ahli-ahli Majlis menjalankan tugas mereka dengan baik, maka ADUN dan Ahli Parlimen juga mempunyai masa yang cukup untuk melaksanakan tugas yang lebih penting di peringkat masing-masing. Selagi masalah ini tidak diselesaikan, wakil rakyat akan terjerat dengan masalah rakyat yang remeh dan merugikan negara.