Adakah Akta Pendidikan merupakan suatu undang-undang yang tidak boleh dipinda? Semua undang-undang boleh dipinda dengan sokongan majoriti di Parlimen. Setiap kali Dewan Rakyat bersidang adalah menjadi lumrah untuk meminda undang-undang yang sedia ada. Oleh itu, tidak ada masalah untuk meminda Akta Pendidikan jika sebilangan besar Ahli-ahli Dewan Rakyat bersetuju berbuat demikian.
Adalah tidak munasabah menjadikan undang-undang sebagai alasan untuk menolak permintaan membina sebuah sekolah menengah Tamil di negara kita. Dalam satu jawapan yang diberikan oleh Menteri Pendidikan di Dewan Rakyat, Seksyen 30 Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) hanya membenarkan penubuhan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) untuk menampung keperluan semua kaum di negara kita. Tidak ada peruntukan dalam undang-undang untuk membina Sekolah Menengah Tamil.
Jawapan Menteri Pendidikan ini adalah alasan semata-mata. Jika kerajaan benar-benar mempunyai niat untuk menubuhkan Sekolah Menengah Tamil, undang-undang ini boleh dipinda. Peruntukan untuk menubuhkan Sekolah Menengah Tamil boleh dimasukkan dalam Akta Pendidikan. Ini bukannya susah untuk dilakukan sekiranya kerajaan mempunyai ‘political will’. Tetapi, kerajaan Barisan Nasional tidak akan berbuat demikian. MIC juga tidak pernah menuntut supaya Sekolah Menengah Tamil dibina di negara ini.
Sehingga hari ini, saya tidak pernah mendengar mana-mana pemimpin MIC memperjuangkan Sekolah Menengah Tamil di negara kita.
Sekiranya MIC menyokong hasrat ini, bawalah pindaan Akta Pendidikan di Dewan Rakyat. Pihak pembangkang juga akan menyokong untuk mendirikan sekolah menengah Tamil di negara kita. Kerajaan Pulau Pinang bersedia untuk memberi sebidang tanah untuk tujuan tersebut. Tetapi, saya cukup yakin bahawa MIC tidak akan berani berbuat demikian.