Dua minggu lepas, saya terbaca berita bahawa Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Abdul Wahid Omar telah menyatakan bahawa jurang antara pendapatan isi rumah antara Bumiputera dengan Cina adalah lebih kurang 30%. (Sumber: http://www.malaysiakini.com/news/316531)
Statistik ini amat bermasalah.
Perangkaan yang tidak tepat menyebabkan dasar ekonomi kerajaan salah
Pertama, kerajaan menggunakan kaedah purata pendapatan dalam pengiraannya. Sudah diketahui umum bahawa bagi sesuatu set yang mempunyai taburan yang amat besar seperti pendapatan isi rumah, nilai-nilai titik terpencil ataupun outlier akan memesongkan puratanya.
Dalam contoh di atas, jika kita ada lima isi rumah Cina dan lima isi rumah Bumiputera, dan setiap satu daripada empat isi rumah Cina mempunyai pendapatan isi rumah yang lebih rendah daripada pendapatan isi rumah Bumiputera tersebut, tetapi isi rumah Cina yang kelima itu ialah keluarga Billionaire Vincent Tan, maka purata pendapatan isi rumah Cina tiba-tiba akan menjadi lebih tinggi daripada isi rumah Bumiputera. Begitu juga jika keadaan sebaliknya.
Keduanya, setiap kaum ada yang berpendapatan rendah dan ada yang berpendapatan tinggi. Salah satu sifat penting bagi sebarang pengukur ketidaksamarataan pendapatan (“income inequality measure”) ialah anonimiti (“anonymity”), di mana metrik yang diukur bukannya identiti, termasuk kaum ataupun agama, tetapi hanya taburan pendapatan.
Justeru data yang diberi oleh kerajaan tidak membawa apa-apa makna yang berguna kerana nilainya langsung tidak tepat.
Masalah akan timbul jika kerajaan kemudiannya menggubal dasar ekonomi berasaskan data sebegini, maka dasar tersebut bukan sahaja salah malah akan memudaratkan masyarakat kita.
Masalah ekonomi Bumiputera tidak dapat ditangani sebab data yang tidak tepat
Seperkara lagi ialah bagaimana data-data kerajaan yang tidak membezakan antara kaum Melayu di Semenanjung dengan Bidayuh di Sarawak ataupun Bajau di Sabah. Kesemua ini dikategorikan sebagai Bumiputera. Jika dibandingkan contohnya tentang kemiskinan, kadar kemiskinan Bumiputera secara total ialah 5.3% pada 2009, kadar kemiskinan Melayu Semenanjung ialah 4.3%, manakala Bidayuh 10.8% dan Bajau 28.1%. (Sumber: http://hdr.undp.org/sites/default/files/mhdr_2013.pdf)
Tidak munasabah jika kerajaan menggunakan angka 5.3% untuk mewakili kadar kemiskinan kesemua kumpulan Bumiputera di Malaysia. Jika dasar ekonomi dirangka menggunakan maklumat tersebut, maka kebanyakan kaum pribumi di Sabah, Sarawak dan Orang Asal di Semenanjung akan tersisih seperti yang berlaku sekarang.
Akta Perangkaan sudah lapuk
Antara punca utama masalah ini adalah ketelusan dan kecekapan dalam perolehan dan penyebaran maklumat perangkaan kerajaan. Dalam era Open Government, Kerajaan Telus, Akta Perangkaan kita gunakan sudah lapuk, digubal 50 tahun yang lalu pada tahun 1965 tidak dipinda sejak 26 tahun yang lalu pada 1989.
Antara lain, Akta tersebut sudah tidak mampu lagi berhadapan dengan keperluan semasa untuk mencapai objektif pentadbiran telus.
Contohnya, Seksyen 2(2) mengehadkan fungsi Jabatan Statistik untuk mengumpul perangkaan bagi tujuan kegunaan kerajaan dan beberapa tujuan lain yang tertentu sahaja.
Seksyen 8 pula memberikan kuasa mutlak kepada Perdana Menteri untuk menghalang pemberian maklumat dan juga mengenakan bayaran fi terhadap permohonan maklumat perangkaan.
Ada pula kes di mana sesuatu perangkaan tersebut dihentikan daripada sebaran secara arbitrari. Contohnya, perangkaan eksport dan import negeri Pulau Pinang selepas bulan November 2014 tidak lagi diberikan dengan alasan perangkaan tersebut disalah tafsir oleh orang awam. Satu lagi ialah statistik jenayah yang tidak diberi secara penuh dalam laman web Polis Diraja Malaysia seperti dahulu.
Tiga cadangan untuk pembaharuan Akta Perangkaan
Justeru, saya ingin mengetengahkan tiga pembaharuan terhadap Akta Perangkaan sedia ada:
Pertama, oleh sebab maklumat yang dikumpul oleh Jabatan Perangkaan menggunakan wang rakyat, mandatnya patut diperluaskan untuk mengumpul dan mentafsir perangkaan untuk kepentingan awam dan bukan hanya kegunaan kerajaan semata-mata.
Kedua, atas alasan yang sama, bahawa perangkaan dikumpul dengan dana awam, rakyat patut dibenarkan untuk mengakses dengan mudah dan tanpa kos semua maklumat perangkaan tersebut. Saya mendapat aduan bahawa ada penyelidik akademik yang terpaksa membayar beribu-ribu ringgit untuk mendapatkan perangkaan bagi kajian mereka. Ini tidak patut berlaku.
Ketiga, Jabatan Perangkaan patut menerbitkan secara atas talian: data-data mentah, disaggregated data termasuk data sub-regional, methodologi dan pentafsiran dan lain-lain lagi. Data-data ini juga patut dibenarkan untuk ditukar kepada bentuk lain sesuai untuk kegunaan penyelidikan mahupun orang awam. Ini bukan sahaja membenarkan orang awam mengakses perangkaan penting tetapi juga untuk penyelidik dan juga pembuat dasar termasuk pihak Pembangkang sekalipun mempunyai akses kepada maklumat agar mampu membuat analisa dengan lebih tepat.