Skip to content

PM harus panggil sidang khas parlimen untuk bahas laporan PAC tentang perolehan LCS RM9.1286 Bilion

Perdana Menteri harus memanggil satu sidang khas Parlimen bagi membahaskan laporan Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) berkaitan perolehan enam (6) buah kapal Littoral Combat Ship (LCS) bernilai RM9.1286 Bilion yang bermasalah.

Laporan PAC tersebut telah dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos 2022 iaitu hari terakhir mesyuarat kedua Parlimen tahun ini.

Justeru Ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai masa yang secukupnya untuk membaca dan membangkitkan isu-isu yang terkandung dalam laporan tersebut.

Sidang khas parlimen harus segera diadakan atas 5 sebab berikut:

  1. Isu ini melibatkan penyelewengan wang rakyat berjumlah RM9.1286 Bilion di mana RM6.083 Bilion telah dibelanjakan tanpa sebarang penghantaran LCS seperti yang dijanjikan. LCS pertama sepatutnya dihantar pada April 2019 tetapi hanya siap 44% manakala LCS kedua, ketiga dan keempat sepatutnya dihantar pada Februari, Mac dan Oktober 2021 tetapi hanya masing-masing siap sebanyak 35%, 32% dan 27%. LCS kelima sepatutnya dihantar pada bulan ini, tetapi hanya siap sebanyak 16%.
  2. Isu ini berkaitan dengan keselamatan serta kedaulatan negara di mana aset Tentera Laut DiRaja Malaysia (TLDM) bukan sahaja tidak memenuhi spesifikasi yang dikehendaki TLDM malah kegagalan penghantaran LCS yang dijanjikan itu berpotensi memberi kesan buruk kepada keupayaan TLDM secara khusus dan mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara secara amnya.
  3. Isu ini berkaitan kegagalan pengurusan dan salahguna kuasa kerajaan termasuk oleh mantan Perdana Menteri Najib Razak, mantan Menteri Pertahanan Ahmad Zahid Hamidi dan seterusnya Menteri Pertahanan Hishammuddin Hussein dalam perihal memberikan tender tanpa usaha wajar (due diligence) memastikan kemampuan syarikat kontraktor menyiapkan kerja, menerima syarat-syarat yang tidak memihak kepada kerajaan, mengenepikan keputusan bersama TLDM dan melantik syarikat pembekal yang sudahpun terpalit dengan kes rasuah antarabangsa, pengurusan kewangan yang bermasalah menyebabkan hampir 70% pembayaran telah dibuat secara keseluruhan namun tiada sebarang penghantaran kapal sehingga sekarang menyebabkan projek ini berisiko menjadi projek terbengkalai.
  4. Isu yang dibangkit dalam laporan PAC ini kini giat dibincangkan melalui media dan media sosial. Najib Razak menggunakan Facebook untuk menyerang PAC, sebuah badan yang dibentuk di bawah institusi Parlimen. Justeru, lebih afdal untuk Ahli Parlimen, Menteri dan Bekas Menteri yang terlibat dengan projek dan laporan untuk merungkaikan perbezaan pendapat tentang isu ini dalam Dewan Rakyat sekaligus mencari jalan penyelesaian yang hakiki. Perbahasan Ahli Parlimen di Parlimen tentang isu berkepentingan awam dan negara dapat mengangkat kembali fungsi Parlimen sebagai satu institusi semak dan imbang terhadap pentadbiran kerajaan.
  5. Kabinet telah membuat keputusan untuk meneruskan projek ini melalui Projek Pelan Pemulihan LCS pada bulan April 2022. Namun Menteri Pertahanan pada masa kini ialah Menteri Pertahanan yang sama ketika masalah perolehan LCS ini berlaku. Parlimen perlu membincangkan bagaimana projek yang begitu penting ini boleh diteruskan dengan lancar jika Menteri yang sama yang telah gagal sebelum ini masih mampu menggalas tanggungjawab untuk meneruskan projek tersebut.

Transparency International Malaysia (TI-M) menyamakan skandal LCS seperti skandal 1MDB dan berkata bahawa kerajaan Malaysia kini telah mempunyai reputasi yang buruk dalam menyelewengkan wang pembayar cukai.

Saya menyeru kepada Perdana Menteri untuk tidak melindungi rakan-rakan dalam parti beliau dan memikirkan kepentingan negara dengan memanggil satu sidang khas Parlimen untuk membahaskan skandal LCS ini secara telus dan terbuka.