Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak boleh berlengah-lengah 2 minggu untuk semakan semula yang tidak bermakna, tetapi membuat keputusan serta merta antara meneruskan dasar kabotaj Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong yang gagal atau menyelamatkan masa depan digital Malaysia. Ini berikutan taktik berlengah-lengah kabinet semalam yang mengarahkan enam kementerian untuk menyiasat kesan dasar kabotaj negara terhadap industri digital dan perkapalan dan membentangkan cadangan mereka dalam masa 14 hari.
Pengecualian kabotaj yang membolehkan kapal asing melakukan pembaikan kabel dasar laut ini telah diberikan pada bulan Mac 2019 oleh Menteri Pengangkutan PH Loke Siew Fook. Wee menarik balik pengecualian kabotaj pada 13 November 2020. Adakah Kerajaan PN sekarang begitu tidak tegas dan tidak kompeten sehingga mereka perlu melibatkan 6 Kementerian dalam perkara yang mudah seperti ini? Di bawah PH, perkara ini diputuskan dengan berkesan oleh Kementerian Pengangkutan tanpa sebarang masalah berdasarkan amalan terbaik antarabangsa.
Syarikat teknologi seperti Google, Facebook, Amazon dan Microsoft telah menulis surat kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebanyak dua kali, membuat permintaan mendesak untuk mengembalikan pengecualian tersebut. Keempat-empat syarikat teknologi itu menyatakan bahawa pembatalan pengecualian kabotaj telah mengurangkan daya tarikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan untuk teknologi, menyekat rakyat dan perniagaan Malaysia yang bergantung pada internet serta melanggar Pelan Pembangunan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).
Jelas, pembatalan oleh Wee ini akan menghalang pencapaian objektif MyDigital, seperti menarik lebih banyak kabel dasar laut dan pelaburan pusat data ke negara ini, meningkatkan daya saing ekonomi melalui digitalisasi, dan mengembangkan bakat digital yang kompetitif di peringkat antarabangsa. Malangnya, Wee tidak nampak kerugian yang dihadapi Malaysia tetapi hanya memikirkan jatuhnya air muka sendiri dan pendedahan ketidakcekapannya sekiranya pengecualian kabotaj dikembalikan semula.
Pengerusi Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) Rais Hussin secara terbuka menyalahkan Wee yang membatalkan pengecualian kabotaj menyebabkan Malaysia diketepikan oleh Facebook dan Google dengan memilih Singapura dan Indonesia. Rais mengatakan bahawa turut dikaji semula adalah pelaburan berpotensi pusat data bernilai RM12-15 bilion pelaburan asing. DAP menyokong seruan Rais untuk mengembalikan pengecualian kabotaj ini demi menyelamatkan puluhan bilion pelaburan kritikal dalam sektor teknologi digital dan masa depan negara kita.