Saya membidas rejim Perikatan Nasional (PN) yang mengamalkan pentadbiran dua darjat yang menyusahkan rakyat tetapi menyenangkan menteri.
Menteri yang tidak mematuhi SOP tidak akan dikenakan apa-apa tindakan tetapi rakyat biasa yang hanya merupakan pesalah kali pertama pula dikenakan denda RM1,000.00 yang kini dinaikkan sepuluh kali ganda kepada RM10,000.00. Inilah kerajaan pintu belakang PN yang melayan menterinya dan rakyatnya dengan piawaian yang berbeza.
Kini pula didedahkan Timbalan Menteri Santhara Kumar yang telah bercuti di New Zealand selama 55 hari dan dilaporkan bahawa cutinya telah diluluskan Perdana Menteri. Tatkala rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura tidak dibenarkan melawat anak-anak mereka di Johor disebabkan pelbagai sekatan yang dikenakan rejim PN, timbalan menteri PN pula dibenarkan bercuti sambil bergaji lumayan di luar negara. Adakah ini cara kerajaan PN prihatin rakyat?
Saya mendesak Ahli Parlimen Segamat tersebut yang juga merupakan Timbalan Menteri untuk meletakkan jawatan sebagai ahli parlimen atas ketidakupayaannya untuk berkhidmat demi rakyat dan adalah lebih baik untuk beliau terus bercuti di New Zealand tanpa memegang apa-apa jawatan berkepentingan seperti wakil rakyat dan sebagainya.