Skip to content

PN dan BN pakatan politik yang huru hara

Slogan pilihan raya umum Perikatan Nasional (PN) dan Barisan Nasional (BN) menggambarkan diri mereka sebagai pakatan politik yang stabil. Namun, apabila kita melihat kepada pertelingkahan dalaman pimpinan mereka, sudah terang lagi bersuluh mereka ini sebuah pakatan politik yang huru hara. Slogan kestabilan yang diperjuangkan diibaratkan seperti menanam tebu di tepi bibir.

Pertama, kita dapat lihat BN diselubungi permasalahan berkenaan calon Perdana Menteri mereka. Walaupun pada mulanya Dato Seri Ismail Sabri diumumkan sebagai calon Perdana Menteri, namun individu yang terlihat sering menjadi duta pilihan raya BN adalah Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi. Kemudian, baru-baru ini pula Khairy Jamaluddin menyatakan bahawa beliau layak untuk menyandang jawatan Perdana Menteri. Apakah naratif perebutan kerusi Perdana Menteri ini sesuatu yang ingin ditonjolkan kepada rakyat?

Kedua, perpecahan yang berlaku di dalam Umno juga menunjukkan bahawa parti ini seperti retak menunggu belah. Lebih malang lagi, isu keadaan ekonomi yang semakin sakit juga tidak diberikan fokus utama kerana terlampau sibuk perebutan kuasa dalaman Umno yang sering berlaku.

Ketiga, PN sering menjenamakan pakatan mereka sebagai pakatan politik yang telus dan bersih. Akan tetapi, hakikat sebenarnya adalah mereka ini sanggup bekerjasama dengan sang korup, semata-mata untuk kuasa. Kenyataan Takiyuddin Hassan semalam pula hanya menguatkan pandangan bahawa PN dan BN secara hakikinya merupakan pakatan politik yang sama sifatnya, sanggup melakukan apa sahaja untuk kekal berkuasa. Walaupun kenyataan beliau sudah ditempelak oleh pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri, pendirian terumbang ambing ini menunjukkan PN tiada hala tuju yang tetap. Tambahan pula, pentadbiran Malaysia di zaman pentadbiran PN juga menunjukkan betapa bermasalahnya mereka. Sepanjang tiga tahun tersebut, kejatuhan nilai matawang negara yang paling buruk sejak 24 tahun lalu, serta pengurusan masalah inflasi yang sangat teruk sehinggakan harga barang naik berlipat kali ganda.

Pilihan untuk rakyat kini terang. Pakatan Harapan (PH) adalah pilihan kerajaan yang terbaik bagi memacu negara ke arah yang lebih maju dan membangun. Calon Perdana Menteri PH juga, Dato Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan kebolehpercayaan beliau sekiranya beliau diangkat sebagai Perdana Menteri. Pilihan raya umum kali ini adalah satu-satunya peluang untuk rakyat memberi peluang kepada Dato Seri Anwar Ibrahim yang telus dan berwibawa bagi menjamin kesejahteraan rakyat dan menyelamatkan negara dari kemelut ekonomi.