Skip to content

PN patut diberi pengajaran kerana mengkhianati hak kewujudan Pulau Pinang

Menteri Besar KEDAH Muhammad Sanusi Md Nor mengulangi dakwaannya bahawa Pulau Pinang adalah milik Kedah dengan menuntut Perlembagaan Persekutuan dipinda bagi memadamkan Pulau Pinang daripada peta. Jika Pulau Pinang boleh dipadamkan secara semberono, maka tiada apa yang menghalang hak asasi dan kebebasan sivil rakyat Malaysia biasa daripada dihapuskan oleh pentaksub perkauman dan pelampau.

Di bawah Perkara 1(2) Perlembagaan Persekutuan, Pulau Pinang adalah sebahagian daripada struktur asas 14 buah negeri yang membentuk negeri-negeri Persekutuan Malaysia. Perkara 1(3) memberi pengiktirafan kepada Pulau Pinang dengan wilayahnya sendiri. Perkara 2 menyatakan bahawa sempadan mana-mana negeri ditentukan oleh Parlimen tertakluk kepada persetujuan negeri-negeri yang terlibat dan Majlis Raja-Raja.

ADUN Permatang Pasir PH Pulau Pinang, Faiz Fadzil, telah menegaskan bahawa menurut Perkara 2, sempadan Pulau Pinang dan Kedah telah disempadankan dan dijadikan undang-undang di bawah Akta Kedah dan Pulau Pinang (Pengubahan Sempadan) 1985. Dengan kata lain, sempadan Pulau Pinang dan Kedah telah disempadankan, ditetapkan oleh undang-undang dan dipersetujui oleh kedua-dua negeri serta Majlis Raja-Raja mengikut Perkara 2 Perlembagaan Persekutuan.

Inilah sebab mengapa Muhammad Sanusi mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda untuk memadamkan Pulau Pinang daripada peta kerana beliau tahu tidak ada asas undang-undang dalam dakwaannya untuk mengembalikan Pulau Pinang kepada Kedah. Muhammad Sanusi sedang membuat muslihat politik licik demi kepentingan politik PN untuk memenangi Kedah pada pilihan raya negeri akan datang. 1.8 juta rakyat Pulau Pinang harus mempertahankan kedaulatan negeri mereka dengan memberi PN pengajaran yang secukupnya kerana mengkhianati hak Pulau Pinang untuk wujud di Malaysia.

Muhammad Sanusi juga tidak jujur dengan mendakwa Kedah masih mempunyai tuntutan yang sah kepada Pulau Pinang kerana Pulau Pinang telah membuat bayaran ex-gratia atau pajakan tahunan kepada Kedah. Ini adalah tidak benar. Pulau Pinang tidak pernah membayar satu sen pun bayaran ex-gratia atau pajakan kepada Kedah.