Adakah Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan dihukum kerana gagal memakai pelitup muka dan melanggar peraturan wajib pemakaian pelitup muka? Muhyiddin didapati tidak memakai pelitup muka di Zenith Hotel di Putrajaya pada 31 Mac semasa mempengerusikan mesyuarat Bersatu Johor dan Perikatan Nasional (PN) Johor. Menteri Undang-Undang Takiyuddin Hassan telah mengatakan pelanggar peraturan ini boleh dikenakan denda RM1,500 di bawah sistem hukuman tiga peringkat, dengan kompaun maksimum adalah RM10,000 dan RM50,000 untuk syarikat.
Telah tersebar di media sosial tentang kompaun RM10,000 yang dikenakan kepada seorang rakyat biasa di Tanjung Piandang, daerah Kerian di Perak, kerana tidak memakai pelitup muka dengan betul. (Lihat di bawah) Kementerian Kesihatan tidak memberi sebarang maklum balas terhadap kompaun melampau RM10,000 yang berlaku dalam masyarakat luar bandar ini. Adakah tindakan dan kompaun serupa akan dikenakan terhadap Muhyiddin kerana gagal memakai pelitup muka?
Muhyiddin bukan sahaja harus didenda tetapi juga meminta maaf kepada semua rakyat Malaysia kerana gagal memimpin dengan teladan. Ini akan menjadi ujian sama ada Kerajaan PN serius terhadap pematuhan COVID-19 SOP atau sebenarnya kerajaan antara dua darjat. Atau adakah Muhyiddin akan dilepaskan begitu sahaja sama seperti Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin, yang gagal memakai pelitup muka dengan betul semasa menghadiri sambutan Ulang Tahun ke-75 RTM semalam?
Tidak ada keraguan lagi bahawa di antara salah satu sebab kegagalan pengurusan krisis kesihatan awam COVID-19, yang menyebabkan lonjakan jangkitan yang tidak terkawal dan tidak terhalang semasa gelombang kedua akhir tahun lalu, adalah amalan dua darjat dalam penguatkuasaan antara rakyat biasa dan VIP, terutamanya Menteri. Kegagalan pengurusan krisis oleh PN menyebabkan Malaysia mencatatkan jumlah jangkitan COVID-19 tertinggi di ASEAN dari segi per kapita.
Dr Adeeba Kamarulzaman, seorang profesor perubatan di Universiti Malaya, telah memberi amaran bahawa amalan dua darjat dalam penguatkuasaan undang-undang dan polisi yang bertujuan untuk mengekang penyebaran Covid-19 menimbulkan defisit kepercayaan di kalangan orang awam yang mempengaruhi keberkesanan dan kepatuhan terhadap dasar kesihatan awam. Beliau menambah,
Namun akhir-akhir ini, dengan kelesuan pandemik, SOP yang mengelirukan dan mesej yang bercampu-campur, serta kepercayaan awam yang mula terhakis telah menambah risiko masyarakat menjadi kurang patuh walaupun ada denda yang lebih tinggi.
Kemarahan orang ramai juga meningkat terhadap amalan dua darjat, di mana orang biasa dihukum tetapi tidak ada tindakan yang diambil terhadap Menteri seperti Azmin Ali, Annuar Musa dan Zuraida Kamarudin kerana melanggar sekatan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Atau Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Khairuddin Aman Razali, dikompaun dengan hukuman manja hanya RM1,000 tanpa didakwa di mahkamah, berbanding wanita Melayu berusia 72 tahun yang didakwa di mahkamah, didenda RM8,000 dan penjara sehari kerana kesalahan serupa.
Atau Menteri dikuarantin hanya selama 3 hari setelah pulang dari luar negara berbanding 10 hari untuk rakyat biasa. Malah Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah perlu bertanggungjawab terhadap amalan dua darjat, kerana mempertahankan layanan istimewa Timbalan Menteri Edmund Santhara yang dibenarkan melakukan kuarantin di rumah setelah pulang dari luar negara, satu keistimewaan yang tidak diberikan kepada rakyat biasa yang lebih memerlukan.