Saya membidas rejim Perikatan Nasional (PN) yang tidak berniat untuk melaksanakan dasar moratorium kepada rakyat yang sedang mengalami kesusahan.
Selepas pengumuman Perdana Menteri berkenaan pelaksanaan moratorium dalam perutusan khas, Menteri Kewangan menafikan sedemikian dan menyatakan kerajaan adalah tidak mampu mengawal keputusan pihak bank. Malah Persatuan Bank-bank Malaysia (ABM) pula tampil menetapkan pelbagai terma dan syarat dan tidak terus menawarkan moratorium seperti yang dilaksanakan Mac tahun lepas.
Di manakah maruah kerajaan hari ini? Adakah apa yang diumumkan oleh Perdana Menteri hanya satu penipuan atau Perdana Menteri terlalu cuai hingga bertindak mengumumkan sesuatu yang tidak dapat dilaksanakannya? Banyak persoalan timbul setelah Menteri Kewangan & ABM mengeluarkan kenyataan. Hal ini memburukkan lagi rasa resah dalam kalangan rakyat.
Dalam mempertahankan hak rakyat untuk memperoleh moratorium penuh dalam waktu susah ini, semua persoalan rakyat menemui jalan buntu apabila pintu Parlimen ditutup daripada bersidang oleh rejim PN. Pemimpin rejim PN pula boleh sewenang-wenangnya mengumumkan sesuatu dalam perutusan khas dan kemudiannya ada pihak yang berkaitan mengeluarkan kenyataan yang bercanggah dengan pengumuman yang telah dibuat. Negara bagaikan sedang ditadbir oleh mereka yang tidak tahu bekerja. Bencana Covid-19 yang melanda dunia menjadi malapetaka besar kepada negara disebabkan kebodohan dan sifat jahat seperti menipu dan khianat oleh pihak pemimpin yang mentadbir sekarang.
Rejim PN perlu bertanggungjawab dengan pengumuman oleh Perdana Menteri dan tidak membiarkan pihak bank membuat segala keputusan secara bersendiri. Disebabkan kegagalan kerajaan PN menyusun langkah berkesan dalam menangani Covid-19, maka moratorium harus diberi secara pukal untuk semua golongan yang terjejas kecuali pemilik syarikat besar dan jutawan.
Inilah yang terjadi apabila kerajaan hari ini bukanlah kerajaan yang dipilih oleh rakyat dan Perdana Menteri pula telah secara jelas mengakui ketidakmampuan untuk menjaga semua rakyat dalam bual bicara khas. Tiada gunanya terus melaksanakan darurat kalau ini tidak dapat membantu rakyat sekalipun. Pemimpin PN harus berundur demi kebaikan rakyat. Ini bukan lagi soal hayat parti politik tetapi ini soal nyawa rakyat dan kesejahteraan negara.