Skip to content

Polis DiRaja Malaysia harus memberi tumpuan dalam menyiasat punca kebakaran Bukit Aman tetapi bukan menangkap aktivis sosial

Pihak kerajaan Malaysia dan Polis Di-Raja Malaysia (PDRM) harus tumpukan tenaga kerja dalam menjalankan kerja siasatan punca kebakaran atau pihak yang bertanggungjawab ke atas berlakunya kebakaran di ibu pejabat polis di Bukit Aman pada 29 Julai yang lalu tetapi bukan menangkap para aktivis sosial.

Tiga orang aktivis sosial Mandeep Singh, Adam Adli Abd Halim dan Syukri Rezab telah ditahan oleh PDRM pada hari semalam di bawah Akta Hasutan kerana dituduh menganjurkan Himpunan #TangkapNajib yang dijangkakan pada jam 2.00pm hari ini.

Saya mengecam sekeras-kerasnya tindakan PDRM yang tidak demokratik ini. Perlembagaan Persekutuan Malaysia melindungi hak kebebasan bersuara dan berhimpun setiap warganegara. PDRM telah menyalahgunakan kuasa dengan menahan tiga orang aktivis sosial yang tersebut.

PDRM seharusnya memberikan sepenuh tumpuan dalam kerja-kerja siasatan yang berkenaan kejadian kebakaran yang berlaku di ibu pejabat PDRM pada 29 Julai yang lalu. Rakyat Malaysia masih belum dimaklumkan tentang punca atau sebarang butiran tentang kebakaran ini. Bukan sahaja itu, kita masih tertanya-tanya tentang kerosakan yang diakibatkan ekoran kebakaran tersebut.

Kebakaran tersebut yang berlaku dalam keadaan di mana seluruh rakyat Malaysia bertumpu kepada siasatan berkenaan skandal 1MDB telah menarik minat seluruh rakyat dan menimbulkan banyak persoalan tentang perkaitan kejadian ini dengan kerja siasatan 1MDB. Oleh yang demikian, PDRM disaran mengumumkan hasil siasatan kebakaran ini dan mengenakan tindakan setimpa ke atas pihak yang mengakibatkan atau bertanggungjawab ke atas kejadian kebakaran ini secepat mungkin supaya segala persoalan dapat terjawab.

Akhirnya, saya menegaskan bahawa pihak PDRM tidak seharusnya membuat sebarang percubaan untuk menyusahkan aktivis-aktivis sosial dalam menunaikan hak asasi mereka sebagai warganegara. Pada masa yang sama sebarang percubaan untuk menghalang penganjuran himpunan #TangkapNajib juga merupakan sesuatu percubaan untuk menyekat hak asasi dan kebebasan rakyat.