Skip to content

Polis harus berhenti mengeluarkan tawaran kompaun (saman) atas kesalahan-kesalahan di bawah Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan) kerana terdapat keraguan sama ada mereka dibenarkan dari segi undang-undang

Kenyataan media ini dikeluarkan bukan untuk menghalang usaha Kerajaan dalam memerangi penyebaran Covid-19 tetapi menghendaki Kerajaan Perikatan Nasional untuk mematuhi undang-undang seperti ia mewajibkan rakyatnya dan juga kerana semakin banyak aduan diterima bahawa ada anggota-anggota polis menyalahgunakan kuasa yang kononnya telah diberi kepada mereka di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) (‘Akta tersebut’).

Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibuat di bawah Akta tersebut. Di bawah Seksyen 3 (1) Akta tersebut, Menteri Kesihatan boleh melantik mana-mana orang yang sesuai untuk menjadi pegawai yang diberi kuasa.

Pegawai yang diberi kuasa telah didefinisikan dalam Akta tersebut sebagai mana-mana pegawai kesihatan, inspektor kesihatan di bawah Kerajaan atau pihak berkuasa tempatan atau mana-mana pegawai yang dilantik oleh Menteri Kesihatan di bawah Seksyen 3 Akta tersebut. Mengikut peraturan tafsiran ejusdem generis (sejenis), pegawai yang boleh dilantik atau diberi kuasa oleh Menteri Kesihatan mestilah pegawai yang berkaitan dengan kesihatan.

Menteri Kesihatan mempunyai bidang kuasa hanya atas Kementeriannya dan bukan atas Kementerian lain. Oleh itu, Akta ini tidak berniat memberikan Menteri Kesihatan kuasa untuk melantik pegawai-pegawai dari Kementerian lain untuk menjadi pegawai-pegawai yang diberi kuasa (authorised officer) untuk melaksanakan Akta tersebut. Di bawah Seksyen 23 Akta tersebut, mana-mana pegawai yang diberi kuasa boleh hadir di Mahkamah dan menjalankan apa-apa pendakwaan berkenaan dengan apa-apa kesalahan terhadap Akta tersebut atau mana-mana peraturan yang dibuat dibawah Akta tersebut.

Menurut kenyataan media pada 18/3/2020 yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara Jabatan Perdana Menteri, Polis Diraja Malaysia (‘PDRM’) dan Jabatan Sukarelawan Malaysia (‘RELA’), Kementerian Dalam Negeri adalah dilantik sebagai pegawai yang diberi kuasa menurut Seksyen 3 Akta. Adakah pelantikan mereka sah? Atas sebab-sebab yang dinyatakan di atas, pelantikan mereka sebagai pegawai yang diberi kuasa berkemungkinan besar tidak sah. Anggota PDRM dan RELA bukan orang yang ada kaitan dengan kesihatan. Kita juga tidak dapat membayangkan bahawa semua anggota PDRM dan RELA diberikan kuasa untuk hadir di mahkamah dan melakukan pendakwaan terhadap kes-kes yang melanggar Akta tersebut atau peraturan-peraturan yang dibuat di bawah Akta tersebut.

Seksyen 5 Akta tersebut menyatakan bahawa pegawai-pegawai polis, kastam dan imigresen dan pegawai-pegawai dari jabatan dan agensi kerajaan yang lain harus memberikan bantuan apabila diminta oleh mana-mana pegawai yang diberi kuasa. Marilah kita menghormati peruntukan undang-undang dan membiarkan PDRM melaksanakan peranannya untuk memberikan bantuan apa jua pun yang diperlukan oleh Kementerian Kesihatan dan tidak menjadikan mereka pegawai yang diberi kuasa.

Bolehkah PDRM menawarkan kompaun kesalahan di bawah Akta tersebut atau peraturan yang dibuat di bawahnya?

Seksyen 25 Akta memberikan kuasa eksklusif kepada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan atau mana-mana pegawai awam yang diberi kuasa olehnya untuk tujuan ini secara bertulis untuk mengkompaun sebarang kesalahan di bawah Akta atau peraturan yang dibuat di bawah Akta tersebut.

Ramai anggota-anggota polis telah memberikan tawaran kompaun (saman) kepada ramai orang yang kononnya telah melakukan kesalahan di bawah Akta tersebut atau peraturan di bawah Akta tersebut. Adakah mereka telah diberikan kuasa secara bertulis daripada Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan sebagaimana yang dikehendaki oleh undang-undang?

Saya telah menerima aduan bahawa ada orang ramai yang diberi tawaran untuk kompaun (saman) oleh polis walaupun mereka tidak melakukan kesalahan sementara yang lain telah diminta untuk memberi rasuah agar polis tidak mengeluarkan tawaran untuk kompaun.

Saya meminta Kerajaan untuk melakukan pelaksanaan undang-undang dengan cara yang betul. Polis hanya boleh membantu Kementerian Kesihatan dengan memberi amaran kepada orang ramai untuk mematuhi peraturan yang dibuat di bawah Akta tersebut jika mereka menemui mana-mana orang yang kononnya telah melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan bukan mengeluarkan tawaran kompaun (saman). Sekiranya mana-mana orang enggan mematuhi amaran atau tidak mengikut perintah polis, maka orang itu boleh didakwa di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang seorang penjawat awam dalam melaksanakan fungsi awamnya di mana orang itu boleh dihukum penjara sehingga 2 tahun, atau dengan denda sehingga RM10, 000 atau dengan kedua-duanya.

Akta dan PKP dimaksudkan untuk mencegah penyebaran penyakit berjangkit dan bukannya untuk menghukum. Sekiranya rakyat tidak mengetahui peraturan yang selalu berubah dibawah PKP, mereka haruslah diberikan peluang untuk mengetahui apa syarat-syarat terbaru manakala mereka yang tetap menentang undang-undang setelah diberi teguran atau amaran haruslah diberi hukuman yang lebih berat.