Tiada kata-kata yang dapat menggambarkan kemarahan saya apabila mendapat maklumat tentang seorang gadis bawah umur didakwa telah dirogol oleh pegawai penyiasat polis setelah anak gadis itu melaporkan bahawa dia telah dirogol bapa tirinya.
Pihak polis menjalankan siasatan secara adil, tanpa menyebelahi anggota yang terlibat. Ini merupakan satu dakwaan yang sangat serius!
Menurut laporan, mangsa telah diarahkan supaya mengangkang dengan alasan hendak memudahkan pemeriksaan terhadapnya, dan kemudian disuruh pula menanggalkan pakaian dan berbaring di katil.
Adakah ini termasuk dalam prosedur siasatan polis tanpa kehadiran pegawai perubatan atau pegawai wanita? Bagaimana seorang pegawai lelaki boleh dibiarkan bersendirian dengannya? Ini langsung tidak masuk akal, dan perlu disiasat secara teliti.
Bukankah pihak polis mempunyai prosedur yang telah ditetapkan apabila berurusan dengan saksi kanak-kanak, di bawah Akta Keterangan Saksi Kanak-kanak 2007 dan Garis Panduan Khas untuk Mengendalikan Kes Kesalahan Seksual terhadap Kanak-kanak.
Saya bersetuju dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sri Azalina Othman Said. Kedaulatan undang-undang tidak mengecualikan sesiapa pun, pegawai yang terlibat mesti dikenakan hukuman yang berat jika didapati bersalah.
Saya juga berharap supaya penguatkuasaan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis (IPCMC) pada Jun tahun ini, sepertimana yang telah disahkan oleh Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution, akan dapat mencegah salah guna kuasa oleh pihak polis ketika menjalankan siasatan sebegini.
Pihak polis perlu sedar bahawa mereka tidak kebal dari tindakan undang-undang sehingga boleh sedemikian berani untuk berbuat sesuka hati dan menyangkakan mereka akan terlepas begitu sahaja. Saya menggesa Kementerian Dalam Negeri supaya tidak culas dalam memastikan wujud kesedaran undang-undang dalam kalangan anggota polis.
Kementerian Dalam Negeri tidak boleh terus mandom, dan perlu menjadi pembela rakyat terbanyak dalam hal-hal salah laku pihak polis; yang telah terbukti selama ini begitu galak menyalahgunakan kuasa dan kedudukan mereka sehingga terjadinya kematian dalam tahanan, dan dalam kes ini, merogol mangsa rogol yang datang membuat laporan. Apakah zulmat dan kegelapan yang ada di dalam sanubari anggota polis seperti ini?