Skip to content

Polis wajib melumpuhkan kegiatan IS

Kenyataan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar untuk memusatkan pusat hiburan di setiap negeri merupakan suatu cadangan yang menunjukkan pihak polis hanya mahu mengambil jalan mudah dalam melaksanakan tanggungjawab. Ia merupakan cadangan untuk menjaga air muka pihak polis berikutan serangan letupan bom di Movida, Puchong yang dipercayai berkenaan dengan kumpulan militan IS.

Khalid telah menyatakan dalam sidang media bahawa beliau pernah mencadangkan kepada semua kerajaan negeri untuk memusatkan semua pusat hiburan di suatu lokasi yang sama agar pihak polis dapat melaksanakan tugas mereka dengan lebih mudah dan berkesan. Cadangan tersebut bukan sahaja tidak dapat menyelesaikan masalah tersebut malah ia akan menambahkan lagi ancaman terhadap pengunjung pusat-pusat hiburan masing-masing. Di samping memudahkan tugas polis, cadangan itu akan memudahkan juga tugas serangan kumpulan militan kerana jumlah pelanggan yang akan mengunjung ke pusat hihuran juga akan bertambah dan juga lebih terkumpul.

Saya memuji dan berterima kasih terhadap tindakan tegas yang telah diambil oleh pihak polis dengan penangkapan 15 orang suspek dalam kejadian letupan di Movida, Puchong tempoh hari. Polis telah melaksanakan tugas mereka dengan baik. Khalid juga berani mengaku kejadian tersebut sah berkaitan dengan kumpulan militan IS.

Saya menyeru pihak polis supaya jangan mencadangkan sesuatu yang tidak sesuai semata-mata mahu menolak tanggungjawab kepada pihak berkuasa negeri. Saya yakin bahawa dengan kepakaran pihak polis, cabaran ini dapat direntasi dan ditangani dengan baik jika pihak polis serius serta tertumpu. Saya yakin polis boleh menangani isu ini dengan profesional dan baik. Jangan buang masa pada ahli politik pembangkang, tumpukan perhatian pada kes-kes jenayah. Ahli politik tidak melakukan jenayah.

Pihak polis wajib mengambil segala pendekatan dan langkah kawalan keselamatan untuk melumpuhkan segala kegiatan IS ini.