Kami bertiga selaku Ketua-ketua Pemuda Pakatan Rakyat, PAS, DAP dan AMK sebulat hati menyeru kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) untuk segera menghentikan penangkapan kepada mana-mana pihak berhubung perhimpunan #KitaLawan pada 7 Mac lalu.
Kami beranggapan bahawa penangkapan dan penahanan kami serta rakan-rakan NGO yang lain sebagai suatu tindakan mencabul hak asasi rakyat dan melanggar Perlembagaan Persekutuan yang memberi hak kepada semua warganegara untuk berhimpun dengan aman dimana-mana.
Kesemua kami ditahan dibawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman (PAA) dan Seksyen 143 Kanun Keseksaan, yang mana undang-undang ini digunakan secara semberono seperti mengikut arahan pihak tertentu untuk mengugut, membuli, menakut-nakutkan serta menyusahkan kami dan rakan-rakan.
Kami dengan tegas membantah penggunaan akta ini sebagai suatu bentuk manipulasi undang-undang demi menghalalkan kehendak tuan-tuan politik mereka.
Kami juga mendesak agar semua tahanan-tahanan berkaitan perhimpunan #KitaLawan yang masih ditahan dilokap, segeralah dibebaskan.
Kami dan rakan-rakan NGO yang lain adalah anak muda yang merdeka dan menghormati undang-undang di Malaysia, justeru tidak seharusnya kami diperlakukan seperti penjenayah.
Kami Pemuda PR berpegang teguh pada prinsip untuk menegakkan keadilan dan membela nasib mereka yang tertindas dan kami tegar untuk terus memperjuangkannya. Kami tidak akan berhenti selagi Perdana Menteri tidak meletakkan jawatan berhubung skandal 1MDB dan tahanan politik Anwar Ibrahim dibebaskan.
Justeru, kami ulangi gesaan agar pihak Polis khususnya Ketua Polis Negara Tan Sri Dato’ Sri Khalid bin Abu Bakar untuk segera menghentikan pembulian dan pencabulan terhadap hak asasi kami dan rakan-rakan ketika ini, kerana kami semua adalah warga yang merdeka.
#KitaLawan Sampai Menang.