Polisi yang mewajibkan majikan mendedahkan kadar gaji dalam iklan kerja adalah langkah yang bagus dan perlu disegerakan.
Walaupun cadangan ini mendapat tentangan daripada beberapa pihak, polisi ini perlu bagi memastikan hak-hak pekerja terjaga dan tidak dicabuli. Tambahan pula, seseorang pekerja itu mempunyai hak untuk mengetahui gaji kerja yang diiklankan oleh majikan. Langkah ini sudah pun dilaksanakan di negara-negara maju.
Jika kita lihat keadaan semasa, masih ada syarikat yang tidak menyatakan kadar gaji bagi sesebuah pekerjaan yang ditawarkan dan oleh kerana ini, berleluasanya budaya “low-balling”, yang mana majikan memberikan kadar gaji yang rendah bagi pekerja walaupun pekerja tersebut mempunyai kemahiran-kemahiran profesional. Misalannya, tidak hairan untuk kita mendengar gaji seorang jurutera peringkat permulaan bermula dari RM1,500 sahaja, walhal di negara-negara maju kadar gaji seseorang jurutera sekurang-kurangnya dua kali ganda lebih tinggi.
Dengan kadar gaji yang begitu rendah, tidak hairanlah ramai golongan pekerja profesional di Malaysia lebih gemar mencari kerja di luar negara dari di negara sendiri, sekaligus menjadikan budaya “brain-drain” di Malaysia lebih parah. Jurang gaji golongan pekerja di Malaysia juga amat besar, yang mana kita dapat lihat di dalam beberapa rumusan laporan kajian gaji pekerja, golongan pengurusan tertinggi mendapat gaji dalam kadar puluh ribu hingga ratusan ribu, manakala golongan pekerja berkemahiran banyak tertumpu di kadar RM2,000 hingga ke RM5,000.
Golongan pekerja perlu diberikan ketelusan dalam informasi gaji mereka dan polisi ini akan dapat membantu perkara tersebut. Sering kita diingatkan bahawa syarikat ataupun bisnes bukan pusat kebajikan, perlu kita tegaskan juga pekerja bukan hamba dan layak dibayar pampasan setimpal.