Saya menerima pertanyaan tentang pertukaran / penstrukturan semula yang mungkin berlaku di Majlis Sukan Negeri Melaka (“MSN”) akibat daripada episod kemelot politik yang berlaku di negeri Melaka kebelakangan ini.
Saya ingin mengesahkan bahawa pihak kerajaan negeri telah pada beberapa hari yang lalu memberi notis kepada pengarah MSN bahawa kerajaan negeri telah memohon supaya kontrak peminjaman pengarah tersebut dipendekkan dan bakal ditamatkan pada awal bulan April 2020. Beliau akan dihantar balik ke Putrajaya untuk berkhidmat selepas itu.
Ini adalah waktu yang paling tidak sesuai untuk melakukan langkah tersebut kerana SUKMA 2020 bakal diadakan pada bulan Julai 2020, iaitu 4 bulan dari sekarang. Kelancaran persediaan bagi SUKMA dan segala program yang akan dijalankan oleh MSN berkemungkinan terjejas apabila proses peralihan kuasa dan pertukaran pengarah berlaku pada masa yang sama.
Saya kesal kerana kerajaan negeri sekarang seolah-olahnya lebih mementingkan ‘political purging’ daripada memastikan kelancaran transisi peralihan kuasa. Lagipun, pengarah MSN merupakan penjawat awam yang berpengalaman serta berkaliber dalam bidang sukan, bukan lantikan politik.
Minggu lepas baru sahaja Jeperun ditutup dan anggota Japerun ditamatkan kontrak, dan akibatnya hampir semua Japerun dalam Melaka berhenti berfungsi. —— [rujukan A]
Proses ‘political purging 2.0’ ini menunjukkan kerajaan baru tidak melihat kepentingan rakyat, dan dalam kes ini, atlit dan pembangunan sukan sebagai keutamaan mereka. ‘Political purging 2.0’ ini berlaku apabila kerajaan baru masih lagi bertengkar tentang calon ketua menteri dan sampai saat ini masih belum ada keputusan.
Saya ingin menegaskan pendirian saya bahawa ‘political purging 2.0’ ini ialah satu tindakan yang amat tidak bertanggungjawab dan memberi kesan yang buruk kepada persediaan atlit Melaka ke SUKMA 2020.