Politik Malaysia telah jatuh ke tahap rendah baharu apabila pemimpin politik dari barisan Pembangkang membuat pertuduhan tidak masuk akal mengenai Islamofobia dan rakyat Malaysia menjual organ untuk kelangsungan hidup tanpa sebarang rasa hormat terhadap integriti maklumat dan kebenaran.
Presiden PAS, Hadi Awang, telah membuat pertuduhan liar dan tidak masuk akal yang kononnya DAP mempromosikan Islamofobia. Namun selepas dicabar berkali-kali selepas lima bulan, dia masih gagal untuk memberikan sebarang bukti untuk tuduhan beratnya ini.
Hadi adalah Duta Khas ke Timur Tengah untuk dua orang Perdana Menteri “pintu belakang”, Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri, namun dia kelihatan seperti tidak tahu yang Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) ada mempunyai Badan Pemerhati Islamofobia sejak dari tahun 2007 yang memerhatikan insiden kejadian dan menerbitkan laporan tahunan mengenai Islamofobia dan dia tidak pernah sekali pun menghantar laporan kepada badan ini mengenai insiden Islamofobia di Malaysia!
Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula telah membuat pertuduhan serius yang mengatakan ada rakyat Malaysia yang terpaksa menjual buah pinggang mereka untuk kelangsungan hidup, tetapi apabila dicabar untuk membuktikan tuduhannya ini, dia memberikan alasan yang tuduhan ini berasaskan kepada hantaran di kumpulan Facebook dan pihak berkuasa yang perlu menyiasat sama ada terdapat kebenaran atau tidak dalam tuduhan ini.
Dalam masa di mana dunia dibanjiri dengan penipuan, fitnah, dan berita palsu, dan ketika mana para pemimpin politik patut memimpin untuk membersihkan arena media sosial dan landskap maklumat, menjadi satu perkara yang terkutuk apabila ada pemimpin politik Malaysia yang tidak rasa bersalah untuk menambah penipuan, fitnah, dan berita palsu untuk kepentingan agenda politik mereka sendiri dan untuk mempolarisasi hubungan antara kaum dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Di Scotland, seorang yang beretnik Pakistan telah menjadi Menteri Pertama dan ketua Parti Nasionalis Scotland. Di United Kingdom, seorang yang beretnik India pula telah menjadi Perdana Menteri dan ketua Parti Konservatif. Tetapi di Malaysia, kita kelihatan seperti bergerak ke belakang dengan suara-suara yang cuba mengatakan orang Melayu telah kehilangan kawalan politik dan ekonomi di Malaysia.
Saya terkejut semalam apabila saya melihat satu hantaran Tik Tok yang menuduh yang saya mempunyai hubungan darah dengan Chin Peng, Lee Kuan Yew, Tony Pua, Teresa Kok, Anthony Loke, Nga Kor Ming, dan Ngeh Koo Ham, dengan perkataan yang mengatakan: “kalau betul mereka ini keturunan komunis kenapa di bagi jawatan dalam kerajaan”.
Tidak ada sebarang kebenaran dalam pertuduhan yang mengatakan saya mempunyai sebarang hubungan dengan Chin Peng dan Lee Kuan Yew dan saya hanya mengenali Tony Pua, Teresa Kok, Anthony Loke, Nga Kor Ming, atau Ngeh Koo Ham selepas mereka menyertai DAP beberapa dekad selepas saya mula terlibat dengan DAP.
Ada penipuan dan fitnah yang dirangka untuk mencemarkan nama saya semasa saya aktif dalam politik selama lebih dari setengah abad yang lepas, tetapi selepas saya bersara dari politik barisan hadapan pada bulan Mac tahun lepas, saya ingatkan penipuan dan fitnah ini akan dihentikan.
Namun, penyebar penipuan dan fitnah ini tidak mempunyai rasa hormat terhadap integriti maklumat atau kebenaran, sebaliknya mereka hanya berminat untuk mengelirukan seramai mungkin rakyat Malaysia untuk mewujudkan perpecahan dengan mempolarisasi hubungan antara kaum dan agama dalam masyarakat majmuk di Malaysia.
Amatlah malang apabila kita ada pemimpin politik yang juga tidak mempunyai sebarang integriti terhadap maklumat atau kebenaran dan mereka ini perlulah didedahkan.