1. Saya merujuk kepada kenyataan yang dikeluarkan oleh Ahli Parlimen Machang, YB Wan Ahmad Fayhsal yang mengecam penganjuran Majlis Sambutan Aidilfitri Madani 2025 dan mendakwa kerajaan tidak cukup prihatin terhadap mangsa tragedi letupan gas di Putra Heights.
2. Kenyataan beliau bukan sahaja tidak bertanggungjawab, tetapi jelas bersifat populis dan tidak membantu langsung ke arah penyelesaian sebenar.
3. Bantuan tunai sebanyak RM5,000 adalah bantuan awal daripada kerajaan untuk meringankan beban mangsa dan bukanlah bantuan terakhir. Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri sedang giat menilai keperluan mangsa secara menyeluruh agar bantuan tambahan dapat disalurkan dengan lebih bersasar dan efektif.
4. Tambahan pula, pelbagai bentuk bantuan lain sedang dan akan terus disalurkan. Antaranya, Kementerian Pendidikan juga menyalurkan sumbangan RM1,000 kepada warga sekolah, termasuk guru dan murid yang terjejas. Kementerian lain seperti Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Dalam Negeri juga menyediakan kaunter bergerak atau perkhidmatan menggantikan dokumen secara percuma kepada mangsa.
5. Di samping itu, Kerajaan turut mempertingkatkan kerjasama dengan sektor swasta. Antaranya syarikat automotif seperti Chery, Tan Chong Motor, Warisan TC juga menawarkan bantuan pinjaman kenderaan untuk kegunaan mangsa. Kerajaan Negeri Selangor juga sedang giat mengkaji penempatan sementara kepada mangsa bermula minggu depan.
6. Semua langkah proaktif yang diambil oleh Kerajaan Perpaduan membuktikan bahawa kerajaan tidak lepas tangan seperti yang cuba digambarkan oleh Wan Ahmad Fayhsal.
7. Mengenai penganjuran Majlis Aidilfitri Madani, perlu difahami bahawa majlis ini telah lama dirancang dan bukan sekadar majlis hiburan semata-mata yang sengaja digambarkan oleh Wan Ahmad Fayhsal.
8. Majlis tersebut juga adalah platform untuk Perdana Menteri dan anggota kerajaan turun padang, bertemu rakyat, mendengar sendiri rintihan mereka serta menyampaikan bantuan secara terus kepada golongan yang memerlukan termasuk B40.
9. Malangnya, Wan Ahmad Fayhsal yang digelar Mat Jargon memilih untuk mempolitikkan isu ini demi meraih simpati murahan, bukannya tampil dengan cadangan konstruktif atau menawarkan bantuan nyata kepada mangsa.
10. Jika benar Mat Jargon prihatin, dia sepatutnya mencadangkan langkah-langkah tambahan yang praktikal atau tampil sendiri membantu di lapangan, bukannya menangguk di air yang keruh dengan menghentam usaha kerajaan secara sembrono.
11. Kerajaan Perpaduan akan terus komited membantu semua mangsa tragedi Putra Heights, tanpa mengira fahaman politik, kaum, atau agama. Masa ini seharusnya menjadi titik perpaduan dan keinsafan, bukannya pentas politik sempit yang dimainkan oleh PN.