Skip to content

Potong peruntukan daripada “perbelanjaan mengikut budi bicara Perdana Menteri” dan jangan “korbankan” pelajar cemerlang tajaan JPA!

Mengikut laporan media yang dipetik dari Sin Chew Daily, Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Wee Ka Siong telah mengesahkan bahawa Kabinet dalam mesyuarat semalam telah memutuskan untuk memberhentikan tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk pelajar-pelajar program siswazah dan bursari untuk pelajar-pelajar program pra-universiti untuk tahun 2016 susulan daripada pengurangan pendapatan negara yang diakibatkan oleh kejatuhan harga minyak dunia.

Laporan tersebut menyatakan bahawa pemberhentian biasiswa tersebut akan menjejaskan 700 pelajar dalam dan luar negara untuk tahun ini.

DAP menentang sekeras-kerasnya keputusan Kabinet tersebut yang akan menjejaskan rancangan pendidikan tinggi pelajar-pelajar tersebut. Kebanyakan penerima biasiswa JPA adalah pelajar-pelajar cemerlang daripada keluarga yang berpendapatan rendah. Tanpa biasiswa tersebut, kemungkinan besar pelajar-pelajar tersebut tidak dapat meneruskan penggajian mereka khususnya di universiti luar negara.

Menurut laporan Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016, anggaran pelajar cemerlang yang akan mendapat tajaan biasiswa untuk Ijazah Pertama daripada JPA berjumlah 11,604 orang. Kerajaan perlu menjelaskan sama ada keputusan untuk memberhentikan tajaan biasiswa JPA seperti yang dilaporkan adalah secara keseluruhannya dan melibatkan semua pelajar yang sepatutnya mendapat tajaan atau hanya 700 orang sahaja yang terjejas?

Sekiranya hanya 700 daripada 11,604 pelajar cemerlang yang terjejas daripada keputusan tersebut, kerajaan perlu memberikan penjelasan mengapakah kumpulan pelajar ini dimangsakan? Apakah sebab dan kriteria mereka “dikorbankan”?

Mengikut Anggaran Perbelanjaan Persekutuan 2016, di bawah Butiran 030600, Pembangunan Modal Insan, Maksud Bekalan 7, Jabatan Perkhidmatan Awam, peruntukan untuk tajaan biasiswa JPA bagi tahun 2016 ialah sebanyak RM1,653,054,100 (RM1.65 billion).

Peruntukan untuk tahun 2016 sebenarnya telah dipotong sebanyak 14% berbanding tahun 2015 iaitu pengurangan daripada RM1,931,488,100 untuk tahun 2015 kepada RM1,653,054,100.

DAP menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk segera membatalkan keputusan tersebut dan memberi komitmen penuh daripada kerajaan bahawa tidak akan ada seorang pelajar cemerlang pun yang telah ditawarkan tajaan biasiswa untuk tahun 2016 “dikorbankan” dalam proses penyemakan semula Bajet 2016.

Walaupun kejatuhan mendadak harga minyak dunia yang secara langsung memberi kesan yang amat negatif terhadap sumber kewangan negara adalah di luar kawalan kerajaan, namun langkah-langkah penjimatan dan keutamaan dari segi perbelanjaan adalah keputusan yang boleh ditentukan oleh Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Kewangan!

Sekiranya ada peruntukan yang perlu dipotong atau dikurangkan, Perdana Menteri seharusnya menunjukkan teladan dengan mengurangkan peruntukan untuk “perbelanjaan mengikut budi bicaranya” (discretionary spending) dan perbelanjaan tanpa program khusus yang boleh ditangguhkan di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Saya memberikan beberapa contoh perbelanjaan yang boleh dipotong atau dikurangkan di bawah Maksud Pembangunan, Jabatan Perdana Menteri seperti berikut:

Butiran Projek Tajuk Peruntukan Tahun 2016 (RM)
00104 Penyusunan Semula Masyarakat 750,000,000
00108 Program Pembangunan 610,001,100
10600 Projek Kerajaan Elektronik 754,360,000
93500 Projek Khas 309,439,800
93600 Projek Mesra Rakyat 1,332,000,000
JUMLAH 3,755,800,900

5 contoh perbelanjaan di atas sahaja di bawah Jabatan Perdana Menteri melibatkan RM3.75 billion. Sekiranya setiap butiran yang dinyatakan di atas dipotong peruntukannya sebanyak 50%, ia cukup untuk menampung perbelanjaan biasiswa JPA seperti yang diperuntukkan untuk tahun 2016 tanpa sebarang pengurangan.