Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK), Khairy Jamaluddin mengatakan Malaysia berada di landasan yang betul untuk mencapai sasaran 50% penduduk dewasa yang diberi vaksin sepenuhnya bulan ini. Walaupun sasaran bagi Pulau Pinang adalah 100% penduduk dewasa diberi vaksin pada bulan September, rakyat Pulau Pinang mahukan sasaran 100% ini dicapai lebih awal sebelum Hari Merdeka. Tidak ada sebab untuk kelewatan bagi Pulau Pinang apabila Lembah Klang sudah mencapai 104.2% berbanding Pulau Pinang 69.5% pada 14 Ogos. Walau bagaimanapun, rakyat Malaysia ingin dimaklumkan mengenai kesan kekurangan bekalan vaksin sekarang.
PPV Penang One Hope Center di Juru akan berhenti memberikan vaksinasi dos pertama mulai hari Rabu kerana kekurangan vaksin. PPV Hospital Loh Guan Lye telah menghentikan vaksinasi selain untuk dos kedua, yang ditangguhkan selama 7 hari kerana gangguan bekalan vaksin. Kekurangan PPV bergerak di beberapa DUN juga menimbulkan persoalan mengenai amalan dua darjat. Ini bukan prestasi yang akan membolehkan PICK mencapai 100% penduduk dewasa yang menerima dos pertama di Pulau Pinang sebelum Hari Merdeka.
Rakyat telah menyatakan rasa tidak senang dengan pihak berkuasa berkenaan yang terus membisu. Walaupun Kerajaan Persekutuan mungkin lebih mementingkan kepentingan politik, wakil Kerajaan Negeri perlu berusaha sekurang-kurangnya untuk menampung sebarang kekurangan dalam tempoh ini. Ketika masa kritikal di mana Pusat Pemberian Vaksin (PPV) ditamatkan perkhidmatan, wakil rakyat PH perlu berani bersuara bagi menebus kegagalan pihak wakil Kerajaan Negeri dalam melaksanakan tanggungjawab dan mengutamakan kepentingan rakyat.
Sekiranya Kerajaan Persekutuan tidak dapat mendedahkan berapa banyak lagi PPV di negeri ini yang menangguhkan perkhidmatan vaksinasi sementara menunggu pengurusan logistik penghantaran vaksin diselesaikan, wakil Kerajaan Negeri tidak boleh berdiam diri bagi mengelakkan dilabel sebagai tidak berbeza dengan Kerajaan Persekutuan. Pada masa ketika jangkitan harian di Pulau Pinang masih tinggi pada 1,111 dengan rekod 24 kematian, terdapat permintaan yang mendesak untuk vaksin. Rakyat marah apabila temu janji vaksinasi mereka ditangguhkan atau tergantung.
Empat PPV telah ditutup untuk janji temu bagi penerima vaksin dos kedua, iaitu Kompleks Sukan Balik Pulau, Balai Rakyat Bayan Baru, tapak Pesta di Sungai Nibong dan Dewan Milenium di Kepala Batas. Temu janji vaksin bagi minggu depan telah dijadualkan semula ke minggu berikutnya kerana gangguan dalam bekalan vaksin Pfizer ke negeri ini mulai 12 Ogos. Ini menimbulkan persoalan mengenai apa yang berlaku dengan pembelian tambahan 8 juta vaksin Sinovac daripada Pharmaniaga yang dihantar pada bulan ini.
Kurangnya ketelusan dan akauntabiliti serta urus tadbir yang lemah adalah salah satu punca kegagalan Kerajaan PN ini di bawah Perdana Menteri Mahiaddin Md Yassin. Itulah sebabnya “total lockdown” dan Proklamasi Darurat yang menekankan pemusatan kuasa dan dasar yang tidak jelas menyebabkan lonjakan jangkitan dan kematian COVID-19 masing-masing melebihi 1.4 juta dan 12,510. Berbeza dengan Kerajaan Persekutuan, wakil Kerajaan Negeri perlu mengambil peranan dan menunjukkan apa yang boleh dilakukan melalui ketelusan dan akauntabiliti demi kepentingan rakyat Pulau Pinang.