Skip to content

PR JOHOR TUBUHKAN JAWATANKUASA MISI KEMANUSIAAN UNTUK PANTAI TIMUR

Pakatan Rakyat Johor dalam satu sidang media pada jam 3.00 petang tadi memberitahu bahawa satu Jawatankuasa Misi Kemanusiaan Pakatan Rakyat Johor akan digerakkan bermula 3 Januari 2015 ini. Ia bertujuan menggembeling tenaga dan sumbangan rakyat Johor semaksimum mungkin bagi membantu negeri-negeri yang dilanda banjir khasnya di pantai timur.

Menurut ahli Parlimen Kluang – Liew Chin Tong, DAP Johor sendiri telah mula mengaktifkan 14 pusat pengumpulan sumbangan di seluruh Johor untuk membantu mangsa banjir sejak 3 hari lalu.

“Terima kasih kepada rakyat atas sambutan yang amat mengharukan. Mereka datang dengan membawa barangan sumbangan tidak kira banyak ataupun sedikit. Inilah rasa cinta dan kemanusiaan yang ada dikalangan sesama rakyat Malaysia yang mesti disuburkan walaupun sesudah bencana banjir berhenti nanti” ujar beliau yang merupakan Pengerusi DAP Johor.

Turut hadir dalam sidang media adalah Pesuruhjaya PAS Johor – Hj Aminolhuda Hassan, Pengerusi PKR Johor – Sdr Hassan Karim, Gan Peck Cheng selaku pengerusi Taskforce Bencana Banjir DAP Johor dan para pemimpin Pakatan Rakyat negeri.

Menurut Aminulhuda, PAS Johor turut ada menggerakkan operasi “1000 Dapur Untuk Pantai Timur” bertujuan mengutip sumbangan untuk membeli 1000 dapur yang bakal disumbangkan kepada 1000 keluarga terlibat bencana banjir.

“Dari usaha yang pelbagai ini, saya optimis kami dari Pakatan Rakyat Johor mampu mensasarkan pula sekurang-kurangnya bantuan barangan sumbangan 1 treller setiap minggu untuk dihantar kepada mangsa-mangsa banjir tersebut” tambahnya lagi.

Pengerusi PKR Johor – Hassan Karim berpendapat, bencana banjir yang berlaku tidak boleh diasingkan daripada isu pembangunan yang lestari.

“Kerajaan negeri dan persekutuan perlu sensitif terhadap sebarang usaha pembangunan yang dijalankan tanpa mengambil kira kesan buruk terhadap alam sekitar. Ini merbahaya. Rakyat yang akan menanggung kesusahan di kemudian hari” ujar beliau.

Menurut ADUN Penggaram – Gan Peck Cheng, kutipan barangan sumbangan dari 14 pusat pengumpulan DAP seluruh Johor telah berjaya mengumpulkan sehingga 4 trellar bermuatan penuh.

“Bermula sejak awal pagi tadi, semua barangan telah dipindahkan ke Pusat Komuniti Kluang untuk dimuatkan kedalam trellar”.

“Awal pagi esok kami akan bergerak ke Kota Bharu dan Mentakab untuk menyerahkan barang-barang ini” katanya.

Pakatan Rakyat Johor mengucapkan terima kasih kepada seluruh rakyat yang menyumbang.

Kutipan akan diteruskan dan pusat pengumpulan barangan sumbangan akan terus dibuka bagi melicinkan Misi Kemanusiaan Pakatan Rakyat Johor.