Malaysia berada di ambang perubahan. Persoalannya ialah jika kita begitu hampir dengan perubahan mengapa perubahan tidak berlaku? Malaysia mengalami sedikit anjakan apabila Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya umum 2013, dan bukan BN. BN menang walaupun hakikatnya tewas disebabkan oleh amalan persempadanan semula kawasan pilihanraya secara tidak adil yang dilaksanakan lebih daripada 40 tahun yang lepas.
Ramai orang telah bertanya, apakah implikasi Pakatan Rakyat memenangi 51% undi popular? Adalah ia akan mengarah kepada kerajaan BN yang lebih tidak stabil berikutan Najib dilihat sebagai seorang Perdana Menteri minoriti mengetuai sebuah kerajaan minoriti? Adakah akan ada “Malaysian Spring” akibat daripada protes yang berterusan terhadap keputusan pilihan raya? Ya, akan ada “Malaysian Spring” tetapi dalam keadaan yang aman, yang lahir atas tujuan yang sama iaitu untuk membebaskan Malaysia daripada kemiskinan, kejahilan, ketakutan dan rasuah.
Saya tidak akan mempertikaikan hakikat bahawa Najib adalah Perdana Menteri minoriti yang mengetuai kerajaan minoriti kerana tidak wujud di dalam dunia, sebuah negara demokratik yang menggunakan sistem “First-Past-the-Post”, parti yang berjaya mendapat 51% undi hanya berkesudahan dengan sekadar 40% daripada jumlah kerusi. Dalam apa keadaan sekalipun, parti yang memenangi undi majoriti sepatutnya memenangi peratusan jumlah kerusi yang lebih besar. Hanya di Malaysia, akibat daripada persempadanan yang tidak adil, parti yang memenangi undi majoriti boleh berkesudahan dengan jumlah kerusi yang kurang daripada majoriti. Mungkin ini adalah apa yang BN maksudkan dengan “Malaysia Boleh”.
Begitu pun masih ada pemimpin BN yang menolak logik tersebut dengan mempertikaikan bahawa walaupun Pakatan Rakyat memenangi pilihan raya atau pun memenangi undi popular ia langsung tidak penting. Tetapi bagaimana perkara ini boleh terjadi apabila demokrasi sepatutnya adalah majoriti memerintah minoriti dan menghormati hak-hak minoriti? Demokrasi tidak sepatutnya berakhir dengan minoriti menerajui majoriti. Tidak juga boleh dibandingkan seperti sebuah perlawanan badminton.
Demokrasi Bukan Perlawanan Badminton Atau Minoriti Memerintah Majoriti
Dalam perlawanan badminton sekalipun, setiap set diberikan kewajaran yang sama. Tetapi untuk BN, tiada kewajaran untuk setiap kerusi kerana beberapa kerusi seperti Kapar (160,000 undi) mempunyai lebih kurang 10 kali ganda lebih nilai daripada Putrajaya (17,000 undi) tetapi masing- masing mempunyai hanya satu nilai kerusi. Sekiranya sistem pilihanraya di Malaysia disamakan seperti dengan perlawanan badminton, pemain badminton PR perlu memenangi 10 set untuk setiap kerusi yang dimenangi oleh BN.
Menteri Dalam Negeri barangkali berpura-pura marah apabila beliau meminta rakyat Malaysia yang tidak berpuas hati dengan ketidakadilan sistem pilihanraya untuk meninggalkan negara ini. Tetapi ada metod dalam kepura-puraannya kerana tiada sesiapa pun yang boleh menyuruh majoriti atau 51% daripada penduduk untuk meninggalkan negara ini. Beliau hanya mahu menakut-nakutkan rakyat dan tidak mahu meberi tumpuan kepada BN yang kehilangan undi popular dan mengalihkan perhatian mereka dengan menyalahkan masyarakat Cina. Tetapi bagaimana BN boleh kehilangan 51% undi popular apabila masyarakat Cina hanyalah 24% daripada jumlah pengundi? Adakah baki 27% daripada jumlah tersebut terdiri daripada mereka yang mengundi Pakatan Rakyat itu warga Bangladesh? Atas sebab ini tidak akan ada orang yang takut, dibohongi atau dialihkan pandangannya lagi. Rakyat tahu yang merekalah yang merupakan majoriti dan menuntut reformasi pilihanraya supaya bersih, adil dan mampu menyediakan satu platform untuk mencerminkan kehendak majoriti.
Rakyat tidak akan tunduk dengan ancaman penangkapan semula 3 aktivis pembangkang atau mendakwa lebih ramai pemimpin PR di mahkamah kerana menghasut. Mengapa mereka yang pro-BN yang membuat kenyataan anti-Cina tidak dihukum?
Saya menolak pendirian yang mengatakan bahawa prospek masa depan negara akan terjejas dengan kehadiran pembangkang yang kuat. Sudah tentu sekiranya Pakatan mengambil alih, saya yakin untuk menyatakan bahawa Malaysia akan pasti berada di landasan yang betul untuk mencapai potensi yang sepenuhnya. Walaupun kita tidak mencapai matlamat untuk memenangi Putrajaya, saya amat percaya dengan kehadiran Pakatan Rakyat yang lebih kukuh di Parlimen , bersama-sama dengan pengalaman tahun kedua memerintah Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Selangor, akan memberi kesan positif kepada pembangunan negara.
Pertamanya, anda boleh yakin bahawa BN akan lebih sukar untuk menerima tawaran yang hanya akan memberi manfaat kepada kroni-kroni mereka sahaja. Sewaktu kita hanya merupakan 10% daripada ahli parlimen, adalah lebih mudah bagi BN untuk melakukan banyak perkara terutama jenis kontrak kroni yang terlalu banyak untuk kumpulan kecil kita di Parlimen. Tetapi sekarang dengan kekuatan 89 ahli parlimen yang datang dari setiap negeri di Malaysia kecuali Perlis, anda boleh yakin yang kami akan membongkar setiap sudut dan celah bagi memastikan BN berasa sukar untuk mengulangi seperti perjanjian NFC “lembu di kondo”. Anda boleh bergantung kepada Ahli Parlimen seperi Rafizi Ramli, Nurul Izzah atau Dr Ong Kian Ming, Mahfuz Omar dan Oxonian kita sendiri – Tony Pua, serta ramai lagi Ahli Parlimen muda untuk menjalankan tugas semak dan imbang terhadap Kerajaan BN.
Ini bukan bermaksud mereka tidak akan mencuba. Sepertimana yang ditunjukkan daripada penubuhan 1MDB, BN tidak pernah berubah cara. 1MDB, yang tidak mempunyai apa-apa manfaat selain daripada menjadi dana simpanan khas, sepatutnya diserap ke dalam Khazanah. Ini adalah cadangan kami dalam Manifesto Pakatan Rakyat.
kita sudah melihat bagaimana persaingan polisi memaksa BN untuk bertindak terhadap cadangan Pakatan. Kontrak untuk generasi pertama bagi Penjana Kuasa Bebas (IPP) yang akan berakhir tidak lama lagi akan diperbaharui dengan kos yang lebih rendah disebabkan tekanan yang diberikan oleh Pakatan Rakyat. Anda boleh lihat bagaimana BN telah dipaksa untuk mengurangkan harga kereta secara perlahan-lahan hasil daripada manifesto Pakatan Rakyat.
Kita telah membuktikan yang kita boleh mentadbir Pulau Pinang dan Selangor lebih baik daripada BN. Dan kita telah memperolehi mandat lebih besar terutama dari segi kerusi dan undi. Di Pulau Pinang, kita telah meningkatkan bilangan kerusi negeri daripada 29 kepada 30 dan undi popular daripada 58% kepada 67%. Di Selangor, kita telah menambah kerusi negeri daripada 36 kepada 44 dan undi popular meningkat daripada 55% kepada 59%. kita telah menunjukkan bahawa rizab negeri telah meningkat dan dalam masa yang sama, bantuan kewangan dan agihan peruntukan juga dijalankan secara adil dan telus.
Kita akan terus mencari cara yang lebih baik untuk mentadbir kedua-dua negeri. Kita akan teruskan dengan mencari cara-cara yang lebih kreatif untuk memenuhi aspirasi kita untuk mewujudkan sebuah masyarakat yang dipandu dengan idea-idea yang lebih progresif, pelaburan swasta dan awam yang berterusan dan terancang. Penubuhan Penang Paradigm, yang telah dilancarkan pada awal tahun ini menyediakan pelan tindakan yang telah dan akan digunakan untuk menunjukkan kepada rakyat Malaysia bagaimana Pakatan Rakyat akan mentadbir Putrajaya.
Proses perubahan dan pembaikan adalah sebahagian daripada kehidupan. Dan ia adalah satu realiti dalam kehidupan politik. Bakat manusia hanya boleh dibina dan dibangunkan melalui latihan dan kerja keras. Jika Amerika menghadapi “fiscal cliff” yang mengancam kesihatan kewangan dunia, Malaysia menghadapi “talent cliff” yang boleh mengancam kemakmuran ekonomi masa depan kita.
Kita perlukan anak muda yang berbakat untuk kembali ke sini bagi menjadikan Malaysia lebih kukuh. Kita tahu bahawa anda akan kembali ke sebuah negara Malaysia yang sesuai didiami dan menyediakan peluang yang sama untuk anda berjaya. Persaingan sihat dan akauntabiliti akan menjadikan Malaysia sebuah negara yang baik, yang lebih bersih, hijau, sihat dan selamat untuk semua baik untuk hidup, bekerja dan berekreasi. Pakatan Rakyat yang lebih kuat memberi harapan kepada masa depan yang lebih cerah bagi demokrasi, keadilan, kebebasan, integriti dan pembudayaan prestasi di Malaysia.