SYARIKAT Prasarana Negara Berhad (Prasarana) boleh mengurangkan kerugian sebanyak RM 763,000,000 pada 2011 dengan menerima RM10 juta setahun yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang untuk menyediakan bas percuma selama 7 jam di Pulau Pinang pada waktu puncak. RM10 juta akan membolehkan 1.6 juta rakyat Pulau Pinang menaiki bas percuma dari pukul 6 hingga 9 pagi dan dari 4.30 petang hingga 8.30 malam. Prasarana bertanggungjawab terhadap LRT dan sistem Monorel serta operasi RapidKL dan Rapid Penang.
Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan bahawa tujuh syarikat berkaitan kerajaan (GLC) memberi ganjaran bonus kepada pekerja mereka walaupun mencatat kerugian terkumpul berjumlah RM2 bilion pada tahun 2011. Prasarana membayar pekerja mereka antara 1.5 bulan hingga dua bulan bonus walaupun mengalami kerugian sebanyak RM763 juta pada 2011, manakala Cyvberview membayar kakitangan mereka dua setengah bulan bonus walaupun mengalami kerugian RM 254 juta seperti yang ditunjukkan di bawah.
DAP menyokong pemberian bonus tahunan kepada kakitangan kerajaan untuk membantu mereka mengurangkan kos kehidupan yang tinggi, meskipun belanjawan Kerajaan Persekutuan telah mengalami defisit sejak 15 tahun yang lalu. Pada tahun 2011 kakitangan kerajaan Persekutuan telah menikmati bonus satu bulan gaji atau minima RM1,000. Soalan yang dilontarkan oleh orang ramai dan 1.2 juta kakitangan awam yang tidak bekerja di GLC, adalah mengapa kakitangan yang bekerja di GLC menerima bonus lebih tinggi daripada penjawat awam biasa?
Isu ini tidak akan menjadi kontroversi jika GLC mencatatkan keuntungan. Tiada siapa mempersoalkan mereka yang menerima bonus satu bulan, sebagaimana yang dinikmati oleh 1.2 juta kakitangan awam. Tetapi mengapa perlu kakitangan GLC menerima lebih jika mereka mengalami kerugian seperti kerugian Kerajaan Persekutuan akibat belanjawan defisit?
Pengarah Urusan Kumpulan Prasarana, Datuk Shahril Mokhtar berkata, mereka menyediakan perkhidmatan awam dan beroperasi berdasarkan tarif kawalan kerajaan atau tambang, yang tidak dapat dinaikkan untuk mencerminkan kenaikan kos. Shahril berkata, daripada RM763 juta kerugian, RM400 juta adalah kos susut nilai dan RM 300 juta kos pembiayaan disebabkan oleh pelaburan yang besar dalam pengangkutan awam.
Jika ini isunya, beliau perlu menjelaskan mengapa Prasarana berterusan enggan menerima RM10 juta setahun yang ditawarkan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di Pulau Pinang untuk Rapid Penang selama 7 jam waktu puncak. Keengganan menerima peruntukan yang ditawarkan bagi membantu meningkatkan penggunaan pengangkutan awam di Pulau Pinang bukan sahaja tidak rasional dan tidak profesional tetapi juga tidak bertanggungjawab oleh Prasarana.