DAP berasa hairan dengan pernyataan keagamaan daripada Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bahawa menjadi kewajipan orang Islam untuk melepaskan kemarahan mereka terhadap DAP kerana membantah pelaksanaan undang-undang hudud di Kelantan. Beliau berkata bahawa Allah mengizinkan umat Islam untuk berasa marah, justeru umat Islam mestilah berasa marah terhadap DAP kerana penentangannya terhadap undang-undang hudud.
DAP hanya ditubuhkan pada tahun 1966. DAP tidak menyedari bahawa termaktub di dalam ajaran agama suci seperti Islam, bahawa kemarahan terhadap DAP adalah diizinkan oleh Allah. Sebagai seorang yang bukan beragama Islam dan tanpa ilmu mengenai agama Islam, saya hanya tahu bahawa Islam adalah agama ramah, bukan agama marah. Saya memohon Hadi supaya mengemukakan dalil Quran yang manakah dijadikan hujah bahawa umat Islam mesti sentiasa marah terhadap mereka yang tidak percaya, mahupun mereka yang tidak sependapat.
Selanjutnya, kenapa Hadi tidak pula marah terhadap mereka yang lain yang turut membantah pelaksanaan hudud, tetapi hanya marahkan DAP? DAP membantah hudud bukan kerana ia sebahagian daripada agama Islam tetapi kerana ia bertentangan dengan Perlembagaan, di mana Mahkamah Agung sendiri telah memutuskan bahawa hudud tidak dibenarkan di bawah Perlembagaan Persekutuan.
Adakah Hadi hanya marahkan DAP kerana DAP merupakan satu-satunya parti yang ikhlas dan serius membantah undang-undang hudud tidak seperti parti-parti lain yang tidak benar-benar komited, tetapi sekadar bersandiwara mengikut arahan Umno? Hadi salah kerana bukan sahaja DAP tetapi majoriti rakyat Malaysia, terutamanya di Sabah dan Sarawak yang membantah pelaksanaan undang-undang hudud.
Pun begitu, demi memenuhi kepentingan politik sempit beliau, Hadi telah memutuskan untuk menggambarkan DAP sebagai kendala terbesar pelaksanaan hudud. Inilah barangkali sebabnya kenapa beliau mahu umat Islam berasa marah dengan DAP tapi bukan BN mahupun Umno, lantas berkata, “Kita mesti marah. Sebagai orang Islam, kita kena marah (dalam isu ini).”
DAP tidak tahu apa-apa tentang sebarang Kerajaan Perpaduan Pakatan Rakyat dengan Umno pada tahun 2009
Kerjasama erat Hadi bersama Umno dan BN kian terserlah hari demi hari. Hadi telah menyerlahkan helahnya apabila beliau secara terbuka menyokong Datuk Seri Najib Tun Razak untuk terus menjadi Perdana Menteri, tanpa mengambil kira skandal 1MDB, penjualan tanah kepada Lembaga Tabung Haji oleh 1MDB, kesan buruk ekonomi akibat GST terhadap rakyat serta serangan Tun Dr Mahathir terhadap Najib.
Pendedahan Hadi tentang rancangan kerajaan perpaduan pada tahun 2009 di tengah-tengah krisis perlembagaan di Perak, yang beliau nampaknya masih berminat, menunjukkan sejauh mana beliau bersekutu dengan Umno dan BN. Hadi berkata bahawa idea sebuah kerajaan perpaduan di peringkat nasional telah diluluskan oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini terpenjara, dan juga almarhum mantan Mursyidul-Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang telah meninggal dunia.
Ini satu pendedahan yang mengejutkan kerana pemimpin DAP langsung tidak pernah diberitahu tentang kerajaan perpaduan bersama Umno dan BN pada tahun 2009. Hadi mungkin berminat dengan idea tersebut, namun cadangan kerajaan perpaduan itu pastinya telah mengesampingkan DAP secara keseluruhan. Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang telah mengabaikan slogan ‘PAS For All’ dengan mengabaikan rakyat Malaysia di Sabah dan Sarawak serta rakyat bukan-Melayu apabila mahu mewujudkan Kerajaan Perpaduan Pakatan Melayu sahaja bersama Umno dan BN.
Hadi mungkin tidak peduli bahawa tindakan sedemikian akan dilihat sebagai pengkhianatan oleh pengundi bukan-Melayu serta pengundi di Sabah dan Sarawak yang telah menyokong PAS ketika pilihanraya umum yang lalu. Bagaimana pun PAS akan mendapat balasan daripada pengundi anti-BN, yang tidak senang dengan tindakan Hadi yang cuba menubuhkan kerajaan perpaduan secara rahsia dengan BN, dalam pilihanraya umum yang akan datang.