Tan Sri Muhyiddin Yassin, Timbalan Perdana Menteri Malaysia semalam telah pun secara terbuka menyuarakan pendirian beliau terhadap isu 1MDB yang amat membimbangkan seluruh rakyat Malaysia. Kenyataan beliau mengenai 1MDB ketika berada dalam Mesyuarat Agung Tahunan UMNO Bahagian Cheras semalam telah pun menunjukkan bahawa sebenarnya menteri-menteri yang berada dalam kabinet serta pimpinan BN memang tidak atau kurang mengetahui apa yang sedang berlaku. Pada masa yang sama, ia juga menunjukkan bahawa sebenarnya Menteri-menteri, pimpinan Barisan Nasional tidak diberi penjelasan dan didedahkan dengan informasi yang telus mengenai kedudukan sebenar isu melibatkan 1MDB yang cukup kontroversi mutakhir ini.
Cuba sahaja bayangkan, jikalau menteri-menteri dan pucuk pimpinan negara tidak memahami dengan jelas akan apa yang sedang berlaku terhadap syarikat 1MDB serta tidak mampu menjawab keraguan rakyat terhadap hutang dan liabiliti 1MDB, pastilah disana ada sesuatu yang ‘tidak kena’!
Buat masa ini, cuma Timbalan Perdana Menteri seorang sahaja yang telah dengan jelas menyuarakan kebimbangan beliau terhadap isu 1MDB yang bakal memberi kesan negatif kepada UMNO seterusnya kestabilan negara dan seluruh rakyat Malaysia.
Rakyat Malaysia ingin mengetahui bagaimanakah pula pendirian presiden-presiden atau pemimpin tertinggi parti-parti komponen Barisan Nasional khususnya yang memegang jawatan Menteri dalam kabinet.
Jadi, di sini saya ingin mendesak semua presiden parti komponen Barisan Nasional yang memegang jawatan Menteri untuk menyuarakan pendirian mereka sacara terbuka terhadap isu 1MDB dan janganlah terlalu asyik menumpukan perhatian dalam menuntut tambahan jawatan menteri atau timbalan menteri untuk parti masing-masing sahaja dalam rombakan kabinet yang bakal berlaku.
Akhirnya, penggantung akhbar mingguan The Edge dan The Edge Financial Daily untuk masa 3 bulan tidak akan menyelesaikan keraguan rakyat terhadap 1MDB. Memandangkan Timbalan Perdana Menteri telah menyatakan pendirian beliau, jadi tibalah masa untuk Yang Amat Berhormat Perdana Menteri berdepan dengan semua rakyat Malaysia dan menjawab segala persoalanan yang berkenaan dengan 1MDB.