Skip to content

PRK Tanjung Piai: PH mesti menang; jika tidak, politik perkauman akan selamanya mendominasi Malaysia

Sebagai pilihan raya kecil pertama sejak pembentukan Muafakat Nasional – gabungan bekas seteru, UMNO dan PAS – pada bulan September, pertandingan di Tanjung Piai membawa kesan di peringkat nasional. Ia akan menentukan masa depan negara, dalam masa terdekat ini.

Kemenangan Barisan Nasional, diwakili MCA bagi pihak gabungan UMNO-PAS, akan menambah kepada serangan perkauman pakatan pembangkang terhadap kerajaan Pakatan Harapan.

Dengan menggunakan ekstremisme perkauman, berbekalkan niat untuk memecah-belahkan kerajaan Pakatan Harapan melalui perbezaan etnik, semakin mudahlah jalan untuk Najib Razak dan Zahid Hamidi kembali berkuasa. Kedua-duanya sedang berhadapan berpuluh-puluh kes rasuah dan salahguna kuasa di mahkamah.

Jika kuasa dikembalikan kepada mereka, tiada lagi harapan untuk sebarang penambah-baikan. Pembangkang sebenarnya tidak berminat untuk menjalankan peranan semak-imbang. UMNO pula hanya dahagakan kuasa, secepat mungkin.

Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi baru saja memberi isyarat bahawa ada percubaan untuk menumbangkan kerajaan negeri Pakatan Harapan di Perak. Dalam minda Zahid, serta perancangan UMNO-PAS, tujuan utamanya ialah untuk menyemai benih perpecahan dan menuai hasil politik kebencian.

Objektifnya ialah untuk mengembalikan kuasa kepada Najib dan Zahid, tanpa mengambil kira jenayah lampau mereka dan juak-juak mereka ketika Barisan Nasional berkuasa.

Pakatan Harapan baru saja berjaya menempuhi cubaan rampasan kuasa pada Oktober lalu oleh pemimpin UMNO Hishammuddin Hussein dan rakan-rakan beliau, yang cuba membentuk kerajaan pintu belakang, tanpa DAP dan Amanah.

Seluruh bulan Oktober telah menyaksikan meningkatnya kegelisahan antara Melayu dan bukan-Melayu, dan pelbagai cubaan untuk memalit DAP sebagai pengganas dan simpatisan komunis, dengan niat untuk mengharamkan DAP, dan membuangnya dari Pakatan Harapan.

Khalayak Melayu diberitahu bahawa kerajaan dikawal dan dikuasai Lim Guan Eng dan DAP. Manakala khalayak bukan-Melayu diberitahu oleh MCA dan rakan-rakan mereka bahawa DAP tidak mempunyai suara dan didominasi oleh Dr Mahathir Mohamad dan parti Bersatu.

Biar saya tegaskan bahawa kedua-dua tuduhan ini adalah salah sama sekali, tidak adil dan juga merosakkan masyarakat yang berbilang kaum. Pakatan Harapan adalah sebuah kerajaan gabungan yang membuat keputusan secara rundingan bersama, melalui Kabinet dan Majlis Presiden Pakatan Harapan.

Kerajaan Pakatan Harapan tidak sempurna, namun berhak diberi peluang sepenuh penggal lima tahun untuk melaksanakan idea-ideanya; dan ia tidak wajar ditumbangkan melalui plot kecil-kecilan separa penggal serta konspirasi yang digerakkan sentimen perkauman.

Satu undi untuk MCA sebagai khadam gabungan UMNO-PAS dengan memakai topeng BN di PRK Tanjung Piai pada 16 November nanti hanya akan menjadikan kedua-dua parti UMNO-PAS leih galak untuk terus mencetuskan kekecohan.

Jika BN menang, mereka akan mengandaikan bahawa pengundi bersetuju dengan usaha perkauman mereka untuk membuang kerajaan sah Pakatan Harapan pada pertengahan penggal. Tak dapat saya bayangkan bencana bagaimana sebuah gabungan parti politik dengan pemimpin yang rasuah dan tiada agenda penambahbaikan selain politik perkauman akan kembali berkuasa.