Skip to content

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 1 berjalan lancar Barisan hadapan tetap menjadi keutamaan

LINDUNG DIRI, LINDUNG SEMUA

Dalam Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN): Pengurusan COVID-19 yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri menerusi sidang video sebentar tadi, seruan dalam menggerakkan usaha serta mengubah persepsi rakyat untuk tampil mendaftar bagi menjayakan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan menjadi intipati utama.

Sejajar itu, pendekatan strategi kini adalah berlandaskan aspek kesihatan awam dan juga vaksinasi. Justeru, selain Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang menjadi peneraju utama program berkaitan diseru supaya terus bergerak seiringan dengan Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 atau Covid-19 Immunisation Taskforce (CITF) yang ditubuhkan khas pada peringkat negeri. Di Pulau Pinang, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Fasa 1 kini telah berjalan di setiap daerah dengan lancarnya. Barisan hadapan (frontliners) tetap menjadi keutamaan sebagaimana komitmen serta prinsip dipegang Kerajaan Negeri selama ini. Terus doakan dan sama-sama kita jayakan program vaksinasi yang amat penting demi merancakkan kembali pertumbuhan ekonomi negeri khususnya.

Sehingga semalam (28 Februari 2021), anggaran R-naught (Rt) bagi seluruh negara adalah pada paras 0.91 dan Pulau Pinang mencatatkan kadar 1.01. Pada minggu epid ke-8 (21 Februari 2021 hingga 27 Februari 2021), Pusat Kesiapsiagaan dan Tindakan Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) Pulau Pinang menerima laporan sejumlah 922 kes positif COVID-19 yang mana 574 kes (62.25 peratus) adalah terdiri daripada warganegara manakala bukan warganegara (348 kes, 37.74 peratus).

Pecahan kes mengikut kluster dan saringan adalah seperti berikut:- (kes)

  1. 80 Kluster Perusahaan Baru;
  2. 75 Kluster Beringin;
  3. 54 Kluster Mayang Pasir;
  4. 52 Kluster Lorong Bakau;
  5. 40 Kluster Lorong Murni;
  6. 26 Kluster Vista Hilir;
  7. 24 Kluster Hilir Sungai Kluang;
  8. 24 Kluster Jalan Sungai Baong;
  9. 19 Kluster Genting Terang;
  10. 14 Kluster Jalan Baru;
  11. 13 Kluster Lintang Kampung Jawa;
  12. 10 Kluster Penjara Seberang Perai;
  13. 9 Kluster Tapak Bina Persiaran Mutiara;
  14. 180 saringan kontak rapat;
  15. 100 saringan tempat kerja;
  16. 91 saringan bergejala;
  17. 48 saringan penjara, tahanan depoh tahanan, pengusiran keluar;
  18. 63 terdiri daripada saringan pra pembedahan, pra kemasukan ke hospital, pra-pekerjaan dan lain-lain saringan.

Secara keseluruhan, sejumlah 16,180 ujian pengesahan COVID-19 telah dijalankan sepanjang minggu epid ke-8 oleh pelbagai fasiliti kesihatan di bawah pemantauan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP). Majoriti saringan adalah tertumpu kepada saringan kontak rapat kes positif, saringan tempat kerja di kilang industri serta tapak bina dan juga saringan bergejala.

Bagi saringan bukan warganegara sama ada berdaftar di bawah Program Saringan Prihatin (PSP) Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) atau sebaliknya (saringan atas inisiatif majikan sendiri) membabitkan sektor pembuatan/perkilangan serta tapak binaan, JKNPP melaporkan bahawa sehingga 28 Februari 2021, seramai 68,939 orang telah menjalani saringan dan daripada jumlah berkaitan sejumlah 2,435 kes positif telah dikesan.

Turut ditekankan dalam mesyuarat berkaitan adalah jangkitan kes sempadan yang kini menjadi pemantauan utama pihak KKM. Serentak itu jawatankuasa teknikal turut diminta meneliti prosedur operasi standard (SOP) sektor pelancongan yang mana amat berkait rapat dengan negeri Pulau Pinang. Justeru, sama-sama kita harapkan yang terbaik dalam tempoh terdekat.

Dalam pada itu, semua rakyat Pulau Pinang diseru supaya terus berganding bahu dan bersama-sama kita putuskan rantaian perebakan COVID-19 di negeri tercinta kita.

Penang Lawan COVID-19!