Secara rasminya, Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi dos penggalak (booster) kepada para petugas barisan hadapan (frontliners) peringkat negeri Pulau Pinang bermula pada hari ini, 18 Oktober 2021.
Seramai 17,051 frontliners di Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang (JKNPP) layak menerima suntikan penggalak berkaitan dan pemberian suntikan adalah dilaksanakan di fasiliti-fasiliti kesihatan negeri ini.
Buat masa ini, bekalan vaksin Comirnaty bagi negeri Pulau Pinang adalah mencukupi untuk pelaksanaan pemberian dos penggalak (booster) berkaitan.
Dalam pada itu, menurut laporan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin (JKJAV) sehingga 12 tengah malam 17 Oktober 2021, kadar vaksinasi dos 1 bagi populasi dewasa di negeri Pulau Pinang telah mencapai 100.8 peratus manakala lengkap kedua-dua dos (96.3 peratus). Tahniah dan terima kasih kepada semua!
Bagi PICK-Remaja, sehingga tempoh masa sama, pencapaian bagi dos 1 adalah sebanyak 87.3 peratus dan lengkap kedua-dua dos (17 peratus). Kepelbagaian usaha masih giat dijalankan dan kepada mereka yang layak dan masih belum menerima sebarang suntikan sila segera walk-in ke Pusat-pusat Pemberian Vaksin (PPV) sebelum 30 Oktober 2021.
Sementara itu, bagi laporan data/kes harian sehingga 12 tengah hari 18 Oktober 2021, jumlah dilaporkan merupakan yang terendah sejak lima (5) minggu lepas. Malah, secara keseluruhan, trend kini menunjukkan penurunan. Walau bagaimanapun, Kerajaan Negeri bersama-sama JKNPP memandang serius dan memberi perhatian khusus terhadap perkembangan enam (6) kluster membabitkan pusat jagaan warga emas kini.