Skip to content

Program Pencahayaan Wilayah yang dianjurkan oleh DBKL bersempena Hari Wilayah ini disifatkan sebagai perbuatan yang sia-sia dan membazir

Program Pencahayaan Wilayah yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena Hari Wilayah ini disifatkan sebagai perbuatan yang sia-sia dan membazir. Tambahan pula, program ini dijadualkan untuk berlangsung selama sebulan. Apakah rasional kawasan kota raya dicahayakan sekiranya tiada orang yang melawat kawasan bandaraya ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan berlangsung sebegitu lamanya?

Sempadan negara juga telah ditutup semenjak pelaksanaan PKP pada Mac lepas. Sekiranya program ini dilangsungkan untuk menarik minat pelancong asing, tiada pelancong yang dibenarkan untuk melawat Malaysia pada waktu ini. Kebanyakan premis-premis juga ditutup dan hanya perniagaan tertentu sahaja yang dibenarkan untuk dibuka. Di saat orang ramai disarankan untuk duduk di rumah, apakah mesej yang ingin disampaikan oleh pihak DBKL? Tiada sebab untuk orang ramai melawat kota raya di waktu malam di dalam tempoh PKP.

Difahamkan juga, program ini akan berlangsung sehingga 29 Februari. Di waktu banyak perayaan-perayaan besar di negara kita tidak disambut secara besar-besaran, mengapakah program ini berlangsung sebegitu lamanya? Dalam pada itu juga, berapakah anggaran perbelanjaan yang telah diguna pakai untuk menjalankan program ini?

Sebelum ini, sebuah kenyataan pernah dikeluarkan oleh saya berkaitan simpanan tetap milik DBKL yang boleh diguna pakai untuk mencipta sebuah pelan kebajikan yang menyerupai kerajaan Selangor ketika pandemik Covid-19. Saya saran DBKL membelikan dos vaksin bagi para petugas barisan hadapan di Kuala Lumpur yang senantiasa terdedah dengan risiko jangkitan wabak Covid-19. Justeru, pihak DBKL seharusnya mengutamakan perkara tersebut daripada Program Pencahayaan Wilayah yang merupakan perkhidmatan tidak perlu (non-essential service).

Semenjak pelaksanaan PKP1.0 sehingga PKP2.0, golongan gelandangan dilihat semakin ramai di ibu kota. Walaupun kerajaan sekarang sudah mempunyai pelan untuk golongan ini, masih ada sebahagian besar dari mereka diendahkan. Permohonan bantuan sekarang juga kebanyakannya diadakan di atas talian. Birokasi seperti ini secara tidak langsung sudah mengecualikan mereka kerana mereka adalah antara golongan yang tidak mempunyai akses terhadap telefon pintar atau internet.

Di saat kita enak diulit mimpi di katil empuk, ada di luar sana yang sedang sibuk menggeledah sampah mencari sisa makanan untuk mengalas perut, ada yang sedang mencari kotak untuk dijadikan alas tempat tidur, dan ada juga yang sedang mengira butir butir beras di dapur. DBKL seharusnya cakna akan isu kebajikan rakyat di kota raya dan menyalurkan perbelanjaan terhadap program-program yang boleh memberi banyak manfaat kepada orang-orang yang memerlukan di kota raya. Program pencahayaan ini dilihat sebagai usaha sia-sia dan tidak peka dengan realiti sekeliling.

Lampiran dua gambar diambil dari Facebook DBKL: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=2564486747177809&id=1396477910645371